Rakyat Indonesia abai amaran, berebut beli ivermectin rawat Covid

Rakyat Indonesia abai amaran, berebut beli ivermectin rawat Covid

Pengeluar Merck dilaporkan berkata, ‘tiada asas saintifik kesan terapeutik berpotensi ke atas Covid-19’. (Gambar Reuters)

JAKARTA: Penduduk di Indonesia mengabaikan amaran kesihatan dengan membeli “penawar ajaib” Covid-19 yang disokong ahli politik terkenal dan “influencer’ media sosial susulan lonjakan kes luar kawalan di negara itu.

Pihak berkuasa melaporkan ratusan kematian setiap hari ketika negara keempat paling banyak populasi di dunia itu bergelut dengan penularan paling teruk sejak pandemik bermula.

Farmasi di seluruh negara itu kehabisan ivermectin, rawatan oral yang biasanya digunakan untuk merawat jangkitan kutu dan parasit lain, sebahagiannya kerana catatan viral di media sosial berhubung potensinya merawat Covid-19.

“Mereka datang dengan tangkap layar menunjukkan ivermectin…boleh merawat Covid,” kata Yoyon, ketua sebuah kumpulan jualan farmaseutikal di sebuah pasar di ibu kota Jakarta.

Beliau berkata, kekurangan bekalan menyebabkan harga ubat itu melonjak daripada kira-kira 175,000 kepada 300,000 rupiah (RM50-86) sebotol.

“Kami kehabisan bekalan buat masa ini kerana ramai yang datang membelinya.”

Catatan personaliti terkenal dalam talian mendorong permintaan semakin meningkat.

“Ivermectin ialah satu daripada kaedah selamat dan berkesan untuk menamatkan pandemik daripada pelbagai doktor, dengan banyak bukti saintifik,” tulis Reza Gunawan, yang menyifatkan dirinya “profesional kesihatan holistik” dengan 350,000 pengikut Twitter.

Iman Sjafei, pengasas bersama saluran media popular di Indonesia, Asumsi menggunakan platform sama yang mendakwa lima kenalannya pulih daripada Covid-19 selepas mengambil ubat itu

“Mungkin plasebo. Mungkin, tetapi ia mungkin benar juga,”

Sylvie Bernadi, yang tinggal di pinggir Jakarta, membeli ivermectin untuk saudaranya yang dijangkiti Covid-19, selepas melihat mesej WhatsApp dan catatan media sosial mempromosikan ubat itu.

“Ramai orang kata ia boleh merawat Covid-19, jadi saya membelinya,” kata warga emas berusia 66 tahun itu sambil mengakui ada yang bimbang dengan kesan sampingan tidak diketahui.

Didorong teori konspirasi antivaksin dan pandemik dalam talian, berlaku lonjakan permintaan untuk ivermectin dari Brazil ke Afrika Selatan dan malah Lubnan.

Tetapi, pengeluar Merck dilaporkan berkata, “tiada asas saintifik kesan terapeutik berpotensi ke atas Covid-19” dan memberi amaran masalah keselamatan yang mungkin timbul jika ubat itu diambil secara tidak sesuai.

Saintis, Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan beberapa pengawal selia ubat – termasuk di Indonesia – turut menekankan kekurangan bukti boleh dipercayai untuk menunjukkan ia berkesan merawat Covid-19.

Baru-baru ini, taikun dan menteri, Erick Thohir menyarankan gergasi farmaseutikal milik kerajaan, Indofarma menghasilkan sehingga empat juta pil ivermectin sebulan.

Walaupun lebih banyak ujian diperlukan untuk menentukan keberkesanannya merawat Covid-19, beliau menggesa pengguna mendapatkan preskripsi sebelum mengambil ubat itu.

“Saya bukan doktor, tetapi dalam keadaan terdesak dan sukar, saya rasa berbaloi untuk mencuba apa sahaja,” kata Susi Pudjiastuti, bekas menteri perikanan yang popular dengan 2.5 juta pengikut Twitter.

Catatan dan artikel di Facebook berhubung keberkesanan ubat itu merawat Covid-19 tersebar dengan cepat di beberapa negara.

Usaha membendung penularan virus itu di seluruh dunia dicemari teori konspirasi, yang selalunya disebarkan pemimpin politik dan individu terkenal.

Selepas permintaan untuk ivermectin melonjak di Amerika Latin, WHO pada Mac lalu berkata, sebarang penggunaan ubat sebagai rawatan Covid-19 perlu terhad kepada ujian klinikal.

Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) memberi amaran mengenai risiko penggunaan ivermectin susulan laporan pesakit dimasukkan ke hospital selepas memakan ubat itu yang dikhaskan untuk kuda.

Scroll to Top