am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Kerajaan negeri membenarkan rakyat Kelantan untuk mengusahakan perlombongan emas dengan kaedah mendulang.
Pengumuman gembira itu dibuat Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohamed Fadzli Hassan, ketika sesi penggulungan perbahasan belanjawan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.
Mohammed Fadzli berkata, aktiviti itu boleh dilakukan di tanah milik kerajaan dengan lesen yang akan dikeluarkan mengikut syarat tertentu.
“Kerajaan (negeri) bercadang untuk membenarkan rakyat mengusahakan perlombongan emas secara kaedah mendulang.
“Teruskan mendulang atas tanah kerajaan, jangan menceroboh tanah yang diberi kepada syarikat atau sesiapa sahaja.
“Kerajaan (negeri) akan beri lesen sudah tentu dengan syarat tertentu bertujuan rekod dan menjaga keselamatan dalam masa sama adalah untuk memantau supaya ia nanti tak merosakkan alam sekitar. Itu berita gembira untuk rakyat,” katanya.
Beliau berkata, dengan cara itu, rakyat akan menerima faedah secara langsung daripada khazanah yang ada di bumi Kelantan.
Katanya, keputusan itu diambil apabila timbul pertanyaan daripada rakyat sendiri mengenai faedah secara langsung yang diterima hasil perlombongan emas di Kelantan malah jawapan beliau turut diselitkan dalam serangkap pantun.
“Gunung tinggi bukan penghalang, laut luas bukan alasan, kerajaan adil negeri gemilang, rakyat tetap diberi keutamaan,” katanya yang disambut dengan tepukan daripada barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
© New Straits Times Press (M) Bhd
