rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Saya selalu rindukan suasana di tanah air sendiri,” kata Azizul Marhan Solehan, 46, rakyat Malaysia yang kini menetap di Bogor, Indonesia mengenai hari kemerdekaan negara yang disambut, hari ini.
Azizul yang berkahwin dengan wanita warga Indonesia sebelum berpindah ke negara berkenaan untuk berniaga dan menjaga ibu mentua yang sakit pada 2021, mengakui cemburu melihat suasana sambutan yang meriah.
Ahli perniagaan berasal dari Banting, Selangor itu berkata, dia berada jauh di perantauan, tetapi masih dapat menonton siaran langsung sambutan itu menerusi laman sosial.
Menurutnya, dia berasa bangga dilahirkan sebagai rakyat Malaysia yang mempunyai semangat perpaduan dan keamanan luar biasa.
Mengimbau kenangan sambutan kemerdekaan, keluarganya tidak melepaskan peluang memasang Jalur Gemilang di hadapan rumah dan menonton siaran langsung di televisyen serta akan berdiri ketika menyanyikan lagu Negaraku.
“Saya rindukan suasana di Malaysia. Baik Malaysia dan Indonesia, masing-masing ada kelebihan.
“Di Malaysia kita lihat perpaduan masyarakat majmuk yang saling menghormati, hidup bersama, berkongsi ruang dan rezeki. Bila nak sambut hari merdeka kita akan pasang bendera dan meraikan sambutan bersama.
“Di Indonesia juga ada acara sambutan kemerdekaan. Semangat komuniti sangat kuat, mereka ada budaya gotong-royong dan cepat bertindak apabila ada bencana dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Ditanya mengenai keadaan di Indonesia susulan pergolakan yang berlaku sejak beberapa hari lalu, Azizul berkata, keadaan masih belum reda, malah semakin merebak ke seluruh kawasan Indonesia.
Namun, bapa kepada lima anak berusia 13 hingga 18 tahun berkata, tempat tinggalnya yang terletak kira-kira 50 kilometer dari ibu kota Jakarta masih aman.
“Pagi tadi pun kami keluar sarapan di luar, masih ramai keluar beriadah,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan tunjuk perasaan merebak di luar ibu negara Jakarta, dengan beberapa bangunan parlimen wilayah dibakar.
Protes yang bermula pada 25 Ogos merebak ke beberapa bandar besar lain termasuk Cirebon, Brebes, Solo, Kediri, Malang dan Makassar.
© New Straits Times Press (M) Bhd
