Rakyat Malaysia diseru doakan keselamatan sukarelawan misi GSF ke Gaza

Rakyat Malaysia diseru doakan keselamatan sukarelawan misi GSF ke Gaza

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seluruh rakyat Malaysia diseru memanjatkan doa bagi keselamatan pasukan Global Sumud Flotilla (GSF) yang kini dalam misi kemanusiaan ke Gaza.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia susulan serangan terhadap pasukan flotila amat membimbangkan kerana ia menggadaikan nyawa dan keselamatan sukarelawan yang berjuang membawa bantuan kepada rakyat Palestin.

“Alhamdulillah, saya berpeluang melakukan panggilan video bersama Ahmad Musa Al-Nuwayri, salah seorang rakyat Malaysia yang turut serta dalam misi ini.

“Saya mendapat sedikit kelegaan apabila mendengar perkhabaran mereka secara langsung,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, semua peserta dari Malaysia dilaporkan selamat dan tetap bersemangat untuk meneruskan misi tersebut biarpun berhadapan dengan pelbagai risiko dan cabaran.

“Doa kita adalah senjata, solidariti kita adalah kekuatan. Semoga misi ini dipermudahkan dan bantuan sampai kepada saudara-saudara kita di Gaza,” katanya.

Sementara itu menerusi perkongsian video rakaman perbualan itu, Ahmad Zahid turut menyampaikan salam kepada semua 34 peserta misi dari Malaysia.

“Malaysia amat berbangga dengan keberanian 34 delegasi dari Malaysia yang mewakili semua bangsa, agama dan budaya serta kita ketepikan warna politik yang berbeza demi rakyat Palestin.

“Ini menjadi satu Ibrah (pengajaran) untuk rakyat Malaysia supaya bersatu di dalam hati yang sebenar, berpadu di dalam pemikiran yang sebenar, Insya-Allah kejayaan akan memihak kepada kita akhirnya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top