
Rizan Shah berkata, pelbagai formula dan idea baharu dijangka akan diperkenalkan oleh Rafizi apabila kempen politik memasuki fasa lebih aktif pada masa akan datang. Foto fail Bernama
KUALA LUMPUR – Rakyat dikatakan sedang menantikan formula baharu yang bakal diketengahkan Datuk Seri Rafizi Ramli menerusi platform Parti Bersama Malaysia (Bersama) menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Naib Presiden Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas), Shah Rizan Shah Ramli berkata, pelbagai formula dan idea baharu dijangka akan diperkenalkan oleh bekas Menteri Ekonomi itu apabila kempen politik memasuki fasa lebih aktif pada masa akan datang.
Menurutnya, rakyat perlu menilai secara kritikal setiap cadangan yang dibawa dan melihat kepada rekod pelaksanaan dasar yang pernah diperkenalkan sebelum ini.
“Sudah tentu akan muncul pelbagai formula baharu daripada Rafizi selepas ini, namun rakyat perlu menilai sama ada cadangan tersebut benar-benar praktikal dan mampu dilaksanakan.
“Bagi saya, formula-formula yang diperkenalkan sebelum ini tidak memberi impak seperti yang diharapkan dan akhirnya tidak memberikan manfaat besar kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Shah Rizan berkata, Rafizi mempunyai kelebihan dalam menyampaikan idea dan naratif yang mampu menarik perhatian rakyat, namun pelaksanaan sesuatu dasar memerlukan keupayaan pentadbiran yang berkesan.
Menurutnya, pengalaman ketika Rafizi memegang portfolio Menteri Ekonomi perlu dijadikan asas penilaian terhadap sebarang tawaran atau manifesto baharu yang bakal dibentangkan.
“Rakyat perlu menilai bukan sahaja janji atau formula yang dibawa, tetapi juga kemampuan untuk melaksanakannya.
“Setiap dasar yang dicadangkan melibatkan kos dan peruntukan kerajaan, justeru rakyat perlu melihat sama ada ia benar-benar memberi pulangan yang setimpal kepada negara,” katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan janji politik menjelang PRU16 tanpa meneliti implikasi dan keberkesanan cadangan yang dikemukakan.
Sebelum ini, Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Mashitah Mohd Udin dilaporkan menyifatkan manifesto Bersama yang dibentangkan Rafizi sebagai terlalu idealistik dan sukar dilaksanakan.
Menurut beliau, 12 agenda yang diketengahkan itu mungkin kedengaran menarik pada peringkat slogan, namun sebahagian besar daripadanya dilihat lebih bersifat populis berbanding pelan dasar yang mempunyai mekanisme pelaksanaan yang jelas dan realistik.



