
Kelemahan rupiah turut dipengaruhi ketidaktentuan geopolitik global, termasuk konflik yang berterusan di Asia Barat.
JAKARTA – Kejatuhan nilai rupiah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dilihat sebagai peluang untuk menarik lebih ramai pelancong asing ke Indonesia, menurut Timbalan Menteri Pelancongan Indonesia, Ni Luh Puspa.
Beliau berkata, kadar pertukaran semasa menjadikan Indonesia destinasi yang lebih menarik dan mampu milik kepada pelancong antarabangsa, sekali gus berpotensi meningkatkan tempoh penginapan mereka di negara itu.
“Situasi ini membuka peluang kepada Indonesia untuk menjadi destinasi pilihan pelancong kerana kos perbelanjaan mereka menjadi lebih berbaloi, malah mereka mungkin memilih untuk tinggal lebih lama berbanding kebiasaan,” katanya semasa pameran pelancongan Bali & Beyond Travel Fair (BBTF) 2026 di Kabupaten Badung pada Sabtu.
Menurut beliau, bagi memanfaatkan keadaan itu, Kementerian Pelancongan Indonesia sedang mempergiatkan usaha promosi menerusi misi jualan dan penyertaan dalam pelbagai pameran pelancongan antarabangsa bagi meningkatkan jumlah ketibaan pelawat asing.
Bagaimanapun, beliau mengakui kelemahan rupiah turut dipengaruhi ketidaktentuan geopolitik global, termasuk konflik yang berterusan di Asia Barat.

Ni Luh Puspa. -Foto ANTARA Jatim.
Walaupun berdepan cabaran luaran, sektor pelancongan Indonesia masih menunjukkan prestasi positif apabila jumlah ketibaan pelancong asing bagi tempoh Januari hingga Mac 2026 meningkat berbanding suku pertama tahun lalu.
Sehubungan itu, beliau berharap prestasi positif tersebut dapat diteruskan pada suku kedua tahun ini, termasuk dari segi sumbangan pendapatan tukaran asing melalui sektor pelancongan.
Dalam masa sama, Ni Luh menggesa pemain industri pelancongan supaya memberi tumpuan kepada pasaran jarak dekat dan sederhana sebagai strategi mengimbangi kemungkinan penurunan pelancong dari Eropah, Amerika Syarikat dan Timur Tengah akibat ketidaktentuan geopolitik.
“Pasaran jarak dekat dan sederhana perlu diperkukuhkan kerana ia boleh menjadi pengganti kepada pasaran yang terjejas akibat konflik global.
“Berdasarkan data suku pertama tahun ini, pelancong dari pasaran tersebut menunjukkan peningkatan, manakala ketibaan dari beberapa negara Timur Tengah mencatatkan penurunan,” katanya.
Beliau turut menyeru penggiat industri supaya terus optimis dan memperkukuhkan kerjasama bagi merebut peluang yang muncul di sebalik cabaran ekonomi serta geopolitik semasa.-Agensi



