bisnes@hmetro.com.my
LEBIH satu daripada 10 lelaki mengakui pernah berhutang semata-mata untuk keluar janji temu atau dating.
Berdasarkan dapatan Tinjauan Perbelanjaan Janji Temu (Dating) di Malaysia yang dikendalikan LEGASI Research, 13.2 peratus responden lelaki mengakui pernah berhutang untuk janji temu berbanding 4.9 peratus responden wanita.
Malah hampir separuh responden tinjauan itu menganggap kos janji temu ketika ini mahal dengan 49.3 peratus menyifatkan aktiviti itu memerlukan perbelanjaan tinggi manakala hanya 13 peratus berpendapat sebaliknya.
Tinjauan itu juga menunjukkan perbelanjaan janji temu berpotensi menjadi komitmen kewangan yang membebankan khususnya bagi golongan muda yang sedang membina hubungan dan mengurus kewangan sendiri.
Ia mendapati 52.6 peratus responden membelanjakan antara RM51 hingga RM200 bagi setiap temu janji dengan makanan dan minuman menjadi komponen perbelanjaan paling lazim.
Kebanyakan responden pula keluar janji temu antara satu hingga dua kali sebulan sekali gus menunjukkan perbelanjaan berkenaan boleh meningkat sekiranya aktiviti itu dilakukan lebih kerap.
Penyelidik Ekonomi LEGASI Research, Firdzan Nur Yassin berkata, keluar janji temu bukan sekadar membabitkan perbelanjaan untuk meluangkan masa bersama pasangan malah turut membabitkan tanggungjawab kewangan yang berbeza antara lelaki dan wanita.
“Walaupun kebanyakan responden berbelanja dalam lingkungan kos dianggap munasabah masih terdapat individu mengalami tekanan kewangan malah sanggup berhutang untuk keluar janji temu,” katanya pada taklimat media, di sini, semalam.
Dari segi corak pembayaran, 59.3 peratus responden lelaki menyatakan mereka cenderung menanggung keseluruhan kos berbanding hanya 8.2 peratus responden wanita.
Tekanan kewangan berkaitan perbelanjaan janji temu juga lebih ketara dalam kalangan lelaki apabila 27.5 peratus responden lelaki dilaporkan mengalami tekanan kewangan berbanding 16.4 peratus responden wanita.
Tinjauan itu turut mendapati 41.8 peratus responden lelaki membelanjakan RM100 dan ke atas bagi setiap janji temu malah terdapat lelaki sanggup mengeluarkan RM300 atau lebih berbanding responden wanita yang tidak menunjukkan kecenderungan sama.
Bagaimanapun, julat perbelanjaan RM51 hingga RM200 turut dianggap paling munasabah untuk keluar janji temu oleh responden lelaki dan wanita dengan 40.8 peratus menyatakan demikian.
Firdzan berkata, dapatan itu menunjukkan kepentingan menyesuaikan perbelanjaan janji temu dengan kemampuan kewangan individu khususnya apabila wujud kecenderungan untuk berbelanja lebih demi menjaga hubungan.
Katanya, perbelanjaan sehingga RM200 bagi setiap temu janji boleh mencecah RM800 sebulan sekiranya dilakukan empat kali sekali gus berpotensi membebankan individu berpendapatan rendah.
© New Straits Times Press (M) Bhd



