Tutup UNHCR jika tidak berupaya urus pelarian

Tutup UNHCR jika tidak berupaya urus pelarian

SHAH ALAM – Kerajaan perlu mempercepat kajian semula keperluan kehadiran Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Malaysia dan membuat keputusan dalam tempoh enam bulan sekiranya badan itu didapati gagal melaksanakan tanggungjawabnya.

Pakar Undang-Undang Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Salawati Mat Basir berkata, UNHCR kini dilihat tidak lagi cekap memainkan peranan dalam menempatkan semula pelarian ke negara ketiga.

Menurutnya, kelemahan itu menyebabkan Malaysia terus berdepan isu pelarian yang berlarutan, sedangkan proses penempatan semula ke negara ketiga dilihat terlalu perlahan.

“Memang, dia (UNHCR) gagal pada saya. Dia tidak macam zaman dahulu. Betullah apa kata Menteri Luar itu. Dahulu, ketika zaman pelarian Vietnam, UNHCR memang sangat cekap.

“Dia cepatkan keluarkan (pelarian). Tapi, sekarang ini memang kita tengok sangat perlahan,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Sebelum ini, media melaporkan kerajaan sedang mengkaji semula keperluan kehadiran UNHCR di Malaysia susulan kelemahannya menempatkan semula pelarian ke negara ketiga.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, UNHCR dilihat tidak lagi berperanan seperti ketika menangani isu pelarian Vietnam antara 1978 hingga 1990.

Katanya, keadaan itu membimbangkan apabila hanya sekitar 5,000 pelarian ditempatkan semula ke negara ketiga dalam tempoh dua hingga tiga tahun kebelakangan ini.

Justeru, Salawati menggesa kerajaan segera menilai keberkesanan UNHCR dan menentukan kedudukan badan itu di Malaysia.

“Saya harap kaji cepat sikit dan bukan (sehingga) 10 tahun, sepatutnya apabila kajian itu, buat dalam enam bulan. (Jika) tidak berupaya, tutup,” tegasnya.

Beliau turut mempersoalkan tanggungjawab UNHCR terhadap individu yang diberikan kad pelarian, sedangkan penyelesaian jangka panjang bagi membolehkan mereka ditempatkan semula ke negara ketiga masih tidak jelas.

“UNHCR bagi keluar kad (kepada pelarian), tapi dia tidak mahu bertanggungjawab kepada orang yang mereka keluarkan kad itu. Mereka lepas tangan,” katanya.

Menurutnya, keadaan itu menimbulkan persoalan apabila masih terdapat pelarian menetap di Malaysia selama berpuluh-puluh tahun tanpa penyelesaian jelas mengenai status mereka.

Salawati berkata, sistem permohonan dalam talian juga membimbangkan kerana didakwa membolehkan individu memohon status pelarian sebelum memasuki Malaysia.

Justeru, Malaysia perlu lebih tegas dalam menguruskan isu pelarian, termasuk menetapkan dasar penerimaan baharu dan tanggungjawab pihak berkaitan.

“Pada saya, selagi kita tidak menutup pintu kepada kemasukan pendatang, pelarian dan individu tanpa kewarganegaraan, masalah ini akan terus berlaku dan berpanjangan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa Malaysia akan terus menanggung beban pengurusan pelarian selagi tiada penyelesaian jangka panjang, terutama apabila negara ketiga tidak bersedia menerima lebih ramai pelarian.

Scroll to Top