bhnews@bh.com.my
GEORGETOWN: Pemeriksaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi Ops Bas Pekerja di Jalan Paya Terubong di sini mendapati kebanyakan pemandu yang diperiksa tiada lesen memandu dan Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV).
Pengarah JPJ Pulau Pinang, Adenan Md Isa, berkata keadaan itu bermakna jika berlaku kemalangan, pekerja yang menaiki bas terbabit tidak dilindungi insurans.
Adenan berkata, pihaknya turut mengesan sebanyak 111 kesalahan teknikal berkait tayar, cermin gelap, ubah suai kenderaan dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi.
“Kita menerima aduan pengguna jalan raya mengenai sikap pemandu bas pekerja yang sering membuat kesalahan lalu lintas.
“Tujuan operasi ini juga ialah kita mahu membudayakan pemanduan berhemah bagi mengurangkan kemalangan membabitkan bas pekerja,” katanya hari ini.
Dalam operasi itu dari jam 9 pagi hingga 7 malam tadi, JPJ mengeluarkan 250 notis dan 142 saman atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987. Sebanyak 311 bas pekerja diperiksa dalam operasi itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




