norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Penyanyi popular era 1980-an, Ramlah Ram, 59, tidak berkecil hati apabila masih tiada peluang untuk menjayakan konsert solo di tanah air sendiri, namun tetap yakin pada rezeki.
Ramlah yang popular dengan lagu Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu dan Diam Diam Jatuh Cinta itu pernah mengadakan konsert di Dewan Esplanade Singapura awal tahun ini dengan sambutan baik.
“Saya memanglah teringin untuk mengadakan konsert solo di Malaysia Tetapi, hingga kini masih belum ada tawaran yang diterima daripada mana-mana penganjur di sini.
“Mungkin belum ada rezekinya lagi dan tak rasa kecil hati pun. Soal rezeki adalah ketentuan Allah dan kalau ada nanti, adalah bila sampai masanya.
“Konsert di Singapura itu memang ada penganjur yang berminat. Alhamdulillah, syukur ia mendapat sambutan baik penonton dengan dendangan kira-kira 26 lagu pada malam itu,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Ramlah, dia sedar bahawa penganjuran konsert adalah perniagaan yang mana penganjur perlu mengeluarkan modal besar dan perlu memastikan tiket terjual.
“Setakat ini, penganjur di Malaysia belum ada yang panggil saya untuk buat konsert lagi. Tapi, kalau ada peluang itu, ada rezekinya, memang saya pun teringin nak buat dalam negara
“Cuma, semua itu bergantung pada rezekilah. Sebagai penyanyi, saya pasti berusaha melakukan yang terbaik pada konsert saya apabila sudah diberikan peluang itu.
“Bagaimanapun, untuk saya Allah sudah mengaturkan rezeki buat kita semua dalam pelbagai cara dan untuk karier nyanyian ini, rezeki saya itu ada di Singapura dulu.
“Kadang-kadang mungkinlah bagi segelintir orang yang terasa bakat saya lebih nampak di Singapura berbanding negara sendiri. Tapi, tak mengapalah,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




