Milan: Claudio Ranieri mengesahkan beliau menolak tawaran untuk mengendalikan skuad kebangsaan Itali selepas pemecatan Luciano Spalletti, dan memilih untuk terus berkhidmat bersama AS Roma sebagai penasihat kanan kelab itu.
Spalletti, 66, yang membawa Napoli menjuarai Serie A musim 2022/23, mengumumkan pemecatannya sendiri Ahad lalu susulan kekalahan memalukan 0-3 kepada Norway dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026.
Ranieri, 73, yang sebelum ini bersara buat kali kedua selepas membantu Roma menamatkan saingan di tangga kelima Serie A musim lalu, mendedahkan beliau amat menghargai tawaran tersebut yang disampaikan Presiden Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC), Gabriele Gravina.
“Saya berterima kasih kepada Presiden Gravina atas peluang ini. Ia satu penghormatan besar, namun selepas berfikir panjang, saya memilih untuk kekal berkhidmat sepenuhnya bersama Roma dalam peranan baharu saya,” katanya kepada agensi berita ANSA.
Menurut Ranieri, pemilik AS Roma, keluarga Friedkin turut memberi sokongan penuh terhadap apa jua keputusan yang akan dibuatnya berkaitan tawaran pasukan kebangsaan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan keputusan dibuat atas kehendaknya sendiri.
Sebagai rekod, Ranieri membantu Roma layak ke saingan Liga Europa musim depan sebelum tempatnya kini diambil alih oleh bekas jurulatih Atalanta, Gian Piero Gasperini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




