am@hmetro.com.my
Sepang: Kedua-dua belah kaki diikat dan diletakkan dalam posisi terbalik tanpa pakaian serta dikurung dalam bilik gelap.
Itu antara penyeksaan ngeri dialami rakyat Malaysia yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia di Poipet, Kemboja sebelum berjaya diselamatkan dan dibawa pulang hari ini oleh Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO).
Mangsa, Rao, 24, yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori, ditawarkan pekerjaan di sebuah kasino luar negara oleh rakan di Johor yang mendakwa mempunyai ‘orang dalam’ dan boleh meraih gaji AS$1,000 (RM4,132.50).
Dakwanya, dia sempat bekerja selama tiga hari di kasino itu dan kemudian dipindahkan ke tempat lain untuk melakukan penipuan pekerjaan yang menyasarkan rakyat Malaysia dalam belian barangan tidak wujud.
“Saya tidak berminat dengan kerja itu, menyebabkan sindiket yang didalangi warga China mula menyeksa saya dan meminta wang tebusan RM30,000 jika mahu dibebaskan,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 di sini, hari ini.
Sebelum ini, keluarga mangsa memaklumkan Rao bertolak ke Kemboja pada 27 Oktober lalu untuk bekerja di kasino dan Rao sempat menyatakan hasrat untuk pulang tetapi ejen menuntut bayaran RM30,000, manakala laporan polis dibuat di Balai Polis Skudai pada 7 November lalu.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, Jumaat lalu keluarga mangsa hadir dalam sidang media mendedahkan kehilangan Rao dan bagaimana dia dipujuk bekerja di Laos, kononnya di kasino, namun akhirnya diseludup masuk ke Kemboja.
“Selepas sidang media itu, MHO menerima maklumat mengenai enam rakyat Malaysia yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia,” katanya.
Hishamuddin berkata, MHO kemudian berkoordinasi dengan Kementerian Dalam Negeri Kemboja dan pasukan Task Force di sana untuk membebaskan mangsa, namun sindiket hanya melepaskan dua orang termasuk Rao.
“Mangsa kedua terlepas penerbangan pulang hari ini dan dijangka tiba di Malaysia esok, jam 12 tengah hari,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




