Ras Adiba pengerusi baru Bernama

Kuala Lumpur: Ras Adiba Mohd Radzi, 52, dilantik sebagai Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang baru selama tiga tahun berkuatkuasa semalam (23 November).

Personaliti  TV veteran itu adalah wanita pertama yang dilantik sebagai pengerusi dalam sejarah 53 tahun organisasi berita yang juga mengendalikan stesen radio, Bernama Radio, dan saluran televisyen, Bernama TV.

Ras Adiba juga merupakan senator pertama, atlet Paralimpik nasional pertama, dan aktivis orang kurang upaya (OKU) pertama menjadi Pengerusi Bernama.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah mengumumkan pelantikan itu hari ini selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ras Adiba kini berkerusi roda berikutan kecederaan tulang belakang yang dialami ketika kemalangan jalan raya di Petaling Jaya pada 11 Nov 1995

Beliau dilantik sebagai senator pada 20 Mei tahun ini dan merupakan wakil dalam senat bagi OKU.

Senator itu berperanan mendorong siaran langsung sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara untuk menggunakan perkhidmatan jurubahasa bahasa isyarat untuk membolehkan orang-orang bermasalah untuk terus mengikuti proses parlimen secara langsung.

Ras Adiba mengetuai OKU Sentral, sebuah organisasi bukan kerajaan yang memperjuangkan hak orang kurang upaya.

Menyingkap sejarah awal pembabitannya dalam dunia penyiaran, Ras Adiba memulakan kerjaya sebagai penyiar berita TV3 pada 1986 ketika usia 18 tahun.

Beliau kemudiannya beralih ke NTV7 dan meninggalkan industri penyiaran selepas 34 tahun.

Pada tahun 2003, beliau diiktiraf Malaysia Book of Records kerana menamatkan Cabaran Kembara Kerusi Roda sejauh 420 kilometer selama 13 hari dari Johor Bahru ke Putrajaya.

Beliau turut dianugerahkan Tokoh Srikandi Negara pada tahun 2014.

 

Malay news
National Desk