Penyokong EPL akan kembali ke Stadium

London: Liga Perdana Inggeris (EPL) bakal kembali menerima sorakan penyokong bermula bulan depan susulan pengumuman terkini kerajaan British.

Ia kerana antara sukan yang dibenarkan kehadiran penonton ialah bola sepak, ragbi dan lumba kuda.

Bermula 2 Disember ini, maksimum 4,000 penonton boleh kembali hadir ke perlawanan sukan di stadium terbuka untuk beberapa kawasan di England yang berisiko rendah COVID-19. Jumlah maksimum ditetapkan pada angka 4,000 atau separuh kapasiti stadium yang mana lebih sedikit di sebahagian kawasan di negara itu sebaik kawalan pergerakan berakhir.

Bagi kawasan yang berisiko sederhana pula, maksimum 2,000 penonton dibenarkan manakala kawasan yang berisiko tinggi belum dibenarkan kehadiran penonton.

Berdasarkan data terkini COVID-19, kerajaan British akan menetapkan kawasan mana di England yang diletakkan dalam zon rendah, sederhana atau tinggi pada hari Khamis ini.

Sebahagian tempat termasuk London berada dalam kawasan berisiko sederhana sebelum kawalan pergerakan. Tiga daripada kelab besar EPL iaitu Liverpool, Manchester United dan Manchester City berada dalam kawasan berisiko tinggi.

Bagaimanapun, kerajaan cuma membenarkan penyokong tuan rumah untuk hadir bagi mengelakkan perjalanan penyokong pelawat menggunakan pengangkutan awam.

Sementara itu, pengumuman demikian disambut baik Liga Perdana yang menerima kesan sejak kehilangan penonton. “Peminat amat rindukan perlawanan Liga Perdana dan kami mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri berkaitan kepulangan penyokong”, kata Liga Perdana dalam satu kenyataan.

Sumber: BH

Akmal Hakim
Sports Desk

Scroll to Top