Dalam era globalisasi yang serba canggih dan terbuka ini, anak-anak berdepan pelbagai cabaran akidah, akhlak dan moral.
Dunia digital yang tanpa sempadan membuka ruang luas kepada penyebaran budaya maksiat dalam pelbagai bentuk, sama ada melalui hiburan, media sosial, gaya hidup atau rakan sebaya.
Justeru, peranan ibu bapa, pendidik dan masyarakat amat penting dalam menanam sikap membenci maksiat dalam kalangan anak-anak supaya mereka membesar sebagai insan yang beriman, berakhlak dan bertakwa kepada Allah SWT.
Maksiat berasal daripada perkataan Arab ‘asa–ya’si–’isyanan yang bermaksud derhaka atau melanggar perintah Allah SWT.
Dalam konteks Islam, maksiat merangkumi segala perbuatan yang dilarang oleh syarak sama ada kecil atau besar, zahir atau batin, yang dilakukan secara sengaja atau tidak.
Allah SWT berfirman dalam Surah al-A’raf ayat 33 maksudnya: “Katakanlah: Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perkara-perkara yang keji, sama ada yang nyata atau tersembunyi, dosa dan pencerobohan tanpa hak…”
Maksiat adalah sesuatu yang dibenci Allah SWT dan membawa kebinasaan kepada individu dan masyarakat.
Antara kesan buruk maksiat ialah hati menjadi keras, iman menjadi lemah, akhlak rosak, serta hilangnya keberkatan hidup.
Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Apabila seorang hamba melakukan dosa, maka akan timbullah satu titik hitam di hatinya. Jika dia bertaubat, hatinya akan bersih semula. Tetapi, jika dia terus melakukan dosa, maka titik hitam itu akan terus bertambah sehingga menutupi hatinya” (Riwayat al-Tirmizi)
Oleh itu, penting untuk menanam dalam jiwa anak-anak perasaan benci terhadap maksiat supaya mereka tidak mudah terjerumus dalam kegelapan dosa yang memusnahkan diri dan masyarakat.
Benci maksiat
Sikap membenci maksiat perlu bermula dengan pendidikan iman sejak kecil. Iman yang kukuh menjadi benteng pertama dalam menghadapi godaan syaitan dan nafsu.
Ibu bapa hendaklah memperkenalkan Allah SWT kepada anak-anak dengan cara yang penuh kasih sayang supaya mereka mencintai Pencipta dan takut melakukan larangan-Nya.
Anak-anak perlu diajar bahawa setiap perbuatan maksiat bukan sekadar dosa, tetapi satu bentuk pengkhianatan terhadap nikmat dan kasih sayang Allah SWT.
Dalam Surah al-Hujurat ayat 7, Allah SWT berfirman maksudnya: “Dan Allah menjadikan kamu cinta kepada iman dan menghiasi iman itu di dalam hatimu serta menjadikan kamu benci kepada kekufuran, kefasikan dan maksiat…”
Rasa benci terhadap maksiat adalah tanda keimanan yang sihat. Maka, ibu bapa hendaklah menanam nilai ini dalam jiwa anak-anak dengan mengaitkan setiap hukum dan larangan agama dengan kasih sayang serta kebesaran Allah SWT.
Pendidikan agama yang menyentuh hati jauh lebih berkesan berbanding nasihat yang berbentuk ancaman semata-mata.
Peranan ibu bapa
Justeru, ibu bapa ialah model utama dalam pembentukan akhlak anak. Jika ibu bapa sendiri menjaga diri daripada maksiat dan menunjukkan contoh kehidupan berakhlak mulia, anak-anak akan meniru secara semula jadi.
Pepatah Arab menyebut: “Anak-anak itu dibesarkan menurut cara hidup ibu bapanya.”
Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dalam konteks ini, ibu bapa perlu berhati-hati dalam tingkah laku, percakapan dan pilihan hiburan di rumah. Jika mereka sendiri gemar menonton rancangan yang tidak bermoral, berbohong, mengumpat atau mempamerkan gaya hidup hedonistik, anak-anak akan terbiasa dengan suasana itu dan hilang rasa jijik terhadap maksiat.
Oleh itu, suasana rumah mesti dibina atas nilai iman dan adab seperti membaca al-Quran bersama, menjaga solat berjemaah serta mengelakkan perbuatan sia-sia.
Penghayatan nilai Islam
Menanam sikap membenci maksiat bukan bermaksud mengajar anak-anak untuk membenci pelaku maksiat, sebaliknya membenci perbuatannya.
Islam mengajar umatnya untuk bersikap adil dan berhemah.
Anak-anak perlu memahami bahawa setiap manusia boleh berubah melalui taubat dan hidayah.
Guru-guru di sekolah juga memainkan peranan penting dalam membentuk kefahaman ini melalui pendidikan akhlak dan aktiviti bimbingan.
Pengajaran akhlak tidak boleh terbatas kepada teori semata-mata, tetapi perlu disertai dengan pendekatan pengalaman seperti aktiviti kem ibadah, ceramah motivasi rohani atau khidmat masyarakat.
Aktiviti sebegini menanamkan rasa cinta kepada kebaikan dan menjauhkan diri daripada dosa.
Selain itu, pendekatan hikmah (al-hikmah) perlu digunakan ketika menasihati anak.
Allah SWT berfirman dalam Surah al-Nahl ayat 125 maksudnya: “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang terbaik…”
Mendidik dengan hikmah bererti memahami perasaan, usia dan tahap pemikiran anak-anak, lalu menanamkan nilai benci maksiat secara lembut dan berhemah, bukan dengan celaan atau kekerasan.
Pengaruh rakan sebaya dan media sosial
Dalam dunia moden, cabaran paling besar bagi anak-anak ialah pengaruh rakan sebaya dan media sosial. Banyak unsur maksiat disebarkan secara halus melalui hiburan, video pendek dan permainan digital.
Oleh itu, ibu bapa dan pendidik perlu memainkan peranan mendidik anak-anak agar celik media dan mampu menilai baik buruk sesuatu kandungan.
Anak-anak perlu diajar bahawa tidak semua yang popular itu benar dan tidak semua yang tular itu baik.
Mereka mesti mempunyai prinsip iman yang kuat untuk menolak ajakan maksiat walaupun datang daripada rakan karib.
Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Seseorang itu mengikut agama sahabat karibnya, maka hendaklah kamu perhatikan dengan siapa kamu bersahabat.” (Riwayat Abu Daud)
Amal soleh sebagai pencegah maksiat
Membenci maksiat perlu diiringi dengan membiasakan diri melakukan amal soleh. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Sesungguhnya perbuatan baik itu menghapuskan perbuatan jahat.” (Riwayat al-Tirmizi)
Anak-anak yang biasa dengan amal soleh seperti solat, membaca al-Quran, berzikir dan membantu orang lain akan mempunyai hati yang bersih dan jauh daripada kecenderungan kepada maksiat.
Aktiviti keluarga seperti solat berjemaah, majlis ilmu dan kerja kebajikan dapat menumbuhkan rasa cinta kepada kebaikan dan jijik terhadap dosa.
Selain itu, ganjaran dan pujian juga boleh digunakan untuk memupuk nilai positif. Misalnya, apabila anak menolak ajakan melakukan sesuatu yang salah, ibu bapa boleh memuji keberaniannya menegakkan kebenaran.
Pendekatan ini menanamkan dalam diri anak bahawa menjauhi maksiat adalah perbuatan mulia yang diredai Allah SWT.
Membenci maksiat bukan bermakna bersikap keras terhadap pelaku dosa, tetapi mendidik anak-anak supaya memahami bahawa maksiat memusnahkan hati, masyarakat dan masa depan umat.
Dengan iman yang kukuh, contoh yang baik serta didikan penuh kasih sayang, insya-Allah lahir generasi yang membenci maksiat dan mencintai ketaatan generasi yang menjadi penegak amar makruf nahi mungkar serta penyelamat maruah umat Islam.
Penulis Pensyarah Kanan UNISEL dan Timbalan Presiden Wadah
© New Straits Times Press (M) Bhd




