Penyanyi, Nadeera Zaini meluahkan rasa syukur apabila kini berjaya mengenggam trofi Anugerah Juara Lagu (AJL) menerusi kemenangan Naib Juara AJL39.
Nadeera atau nama lengkapnya, Farah Nadeera Zaini, 33, menganggap kemenangan tersebut sebagai satu ganjaran setelah 10 tahun memasang impian untuk membawa pulang trofi anugerah berprestij itu.
“Saya dah lama idamkan ini, sejak 10 tahun lalu dan Allah makbulkan doa saya. Ini bayaran dan doa yang saya minta pada Allah.
“Kepada pendatang baharu, kejayaan ini adalah bukti kalau kita tak berputus asa. Kita yakin dengan kuasa tuhan itu, Insya-Allah ini adalah bayarannya
“Saya rasa diri ini kerdil sangat. Syukur, Alhamdulillah juri dah letak saya top 3 pun saya rasa bersyukur sangat. Saya tak pernah menjangkakan kemenangan ini,” katanya.
Sementara itu, Nadeera turut tidak menafikan dia pernah terdetik untuk berhenti daripada bidang nyanyian namun begitu sokongan dan dorongan peminat serta keluarga melawan perasaannya itu.
“Semestinya pernah terdetik nak berhenti, saya manusia biasa tak lari daripada rasa nak berputus asa tetapi dengan doa keluarga, kata-kata semangat dari peminat dan rakna-rakan seperjuangan itu membuatkan saya nak teruskan juga walau apa yang terjadi.
“Sekurangnya, saya kena ada satu trofi AJL yang saya idamkan. Alhamdulillah, kini termakbul doa itu,” katanya penuh rasa syukur.
Bercerita mengenai konsep persembahan pada malam tersebut, Nadeera berkata lagu Bukan Lagi Kita itu mengisahkan tentang kisah peribadinya yang pernah berada dalam hubungan toksik.
“Penari yang aaya bawa atas pentas adalah orang-orang yang pernah memporak-perandakan kehidupan saya. Pada awal saya masuk saya gayakan baju hitam, kemudian di akhirnya saya memakai baju putih bermaksud saya dah move on dari kisah itu,” katanya lagi.
Pertama kali menjejakkan kaki ke pentas AJL39, Nadeera membawa pulang trofi Naib Juara menerusi lagu Bukan Lagi Kita hasil ciptaan Hael Husaini dan Iqie Hugh.