Rasa puas lebih mahal

Rasa puas lebih mahal

asmaini@mediaprima.com.my

Jika wanita lain seusia dengannya lebih gemar melakukan aktiviti atau hobi santai di dalam bangunan yang selesa, Nor Hidayah Alias pula sebaliknya.

Tidak menghiraukan cuaca panas yang ‘ditakuti’ ramai wanita, Nor Hidayah kini jatuh cinta dengan dunia memancing.

Semuanya bermula apabila wanita kelahiran ibu kota ini mencuba aktiviti memancing itu secara suka-suka, tiga tahun lalu.

Apa yang menariknya, hobi itu kini berkait dengan pekerjaan hakikinya iaitu sebagai Pakar Produk dan Eksekutif Penglibatan Komuniti di Tce Sport Sdn Bhd.

Menurut Nor Hidayah, setiap kali joran dilempar ke dalam air, dia bukan hanya sekadar menunggu ikan menyambar umpan, sebaliknya juga menunggu saat yang penuh ketenangan.

Katanya, dalam tenangnya air dan bisunya angin, dia juga dapat belajar erti sabar kerana bukan mudah untuk menunggu berjam-jam lamanya.

“Memancing juga mengajar saya bahawa kekuatan ada kalanya hadir dalam bentuk tangan yang sabar menggenggam joran, mata yang tajam memerhati tali dan hati yang reda jika pulang tanpa hasil.

“Aktiviti memancing ini bukan milik mutlak lelaki, tetapi untuk sesiapa sahaja yang berjiwa kental dan sanggup menghadapi cabaran,” katanya kepada Harian Metro.

Meskipun pernah mengalami mabuk laut dan muntah teruk lebih 12 kali ketika memancing dalam keadaan laut bergelora namun anak kepada pasangan bekas tentera itu tetap gemar memancing di laut berbanding kawasan sungai kerana pengalaman ditawarkan lebih mencabar dan mendebarkan.

Kata Nor Hidayah, di laut suasana terbuka yang luas dengan angin sepoi-sepoi bahasa menjadikan aktiviti memancing terasa lebih bebas dan mendamaikan.

Tambahan pula, lautan memiliki pelbagai spesies ikan yang bersaiz besar seperti siakap, tenggiri atau kerapu menjadikan cabaran memancing lebih menarik dan tidak mudah dijangka.

Katanya, peluang meneroka kawasan lebih luas dari pesisir pantai hingga ke tengah lautan dengan pemandangan menarik antara faktor mengujakan.

“Kadang kala jika ada rezeki, saya berpeluang melihat hidupan laut lain seperti lumba-lumba, paus dan penyu.

“Semua itu menjadikan aktiviti memancing di laut bukan sekadar hobi, tetapi terapi dan pengembaraan memuaskan jiwa,” katanya yang tidak terlepas untuk berkongsi pengalaman menyaksikan ikan paus bercorak unik itu di laman sosial yang kini meraih 1.4 juta tontonan.

Nor Hidayah berkata, kebiasaannya dia memancing di perairan Pelabuhan Pulau Pinang dan Bagan Ajam kerana lokasi berkenaan mempunyai karang darat serta hasil laut yang banyak.

Katanya, biarpun baharu tiga tahun menceburi dunia memancing namun dia sudah berjaya menaikkan ikan spesies Chao phraya seberat 44 kilogram.

Jelasnya, setiap kaki pancing pasti memiliki jenis ikan idaman, tetapi bagi pemancing laut, ikan layaran dianggap ‘trofi emas’ yang sukar diperoleh.

Mengulas berkenaan tanggapan bahawa memancing adalah hobi yang mahal, Nor Hidayah berkata, semuanya bergantung kepada cara seseorang itu menikmati hobi berkenaan.

Ini kerana ada kaki pancing sukakan gaya sederhana dan ramai sanggup berbelanja besar demi kepuasan diri.

Katanya, bagi yang menceburi secara serius, memancing memang boleh menjadi satu hobi yang memakan belanja mahal.

“Tetapi bagi saya, mahal atau tidak bukan ukuran sebenar. Yang paling mahal dalam hobi ini ialah rasa puas apabila ikan menyambar umpan.

“Ia juga mahal kerana pemancing dapat merasai ketenangan apabila duduk lama tanpa gangguan dan paling berharga masa yang kita luangkan untuk diri sendiri, rakan-rakan atau keluarga,” katanya yang kini secara keseluruhannya memiliki 27 batang rod dengan paling mahal berharga RM540 (Team Seahawk Musha Nautilus-J ).

Sementara itu, mengulas berkenaan peningkatan minat wanita dalam aktiviti yang sinonim dengan lelaki itu akui Nor Hidayah, semakin ramai yang menceburinya.

Katanya, walaupun aktiviti memancing menyeronokkan namun pemancing perlu sentiasa utamakan keselamatan.

“Untuk pemancing wanita, pilihpakaian sopan dan selesa serta jangan lupa memakai topi dan pelindung matahari.

“Elak memancing seorang diri dan maklumkan orang terdekat lokasi yang mahu dituju dan bawa ubatan asas serta bekalan makanan secukupnya,” katanya yang juga gemar menghabiskan masa dengan haiwan peliharaan iaitu 20 ekor kucing.

Sementara iru, Nor Hidayah juga watak penting penubuhan komuniti pemancing wanita di Malaysia, Community Lady Angler Malaysia (CLAM) yang diwujudkan sejak setahun lalu.

Katanya, komuniti kaki pancing wanita itu kini memiliki 170 ahli dengan ahli paling muda berusia 17 tahun dan paling tua seorang nenek berumur 68 tahun.

“Platform ini untuk mengumpulkan komuniti pemancing wanita di Malaysia untuk melakukan pelbagai aktiviti bersama.

“Saya ingin membuktikan wanitamampu berdiri sama tinggi di dunia memancing ini, dengan semangat, ilmu dan disiplin,” katanya yang turut memasang impian menyertai pertandingan memancing secara profesional pada masa hadapan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top