Rashford, Saka terlepas aksi England

Rashford, Saka terlepas aksi England

LONDON: Marcus Rashford dan Bukayo Saka tidak akan menyertai skuad England untuk aksi kelayakan Piala Dunia menentang Albania dan Poland.

England memulakan kempen kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 dengan kemenangan 5-0 ke atas San Marino di Wembley Khamis lalu.

Rashford dan Saka tidak beraksi pada perlawanan itu dan Persatuan Bolasepak Inggeris mengesahkan yang mereka turut terlepas dua lagi perlawanan bulan ini.

England bertandang ke Tirana esok dan berdepan Poland di Wembley pada Rabu – perlawanan terakhir sebelum pengendali Gareth Southgate menyenaraikan skuad untuk Kejuaraan Eropah tahun ini.

“Marcus Rashford dan Bukayo Saka tidak akan mengambil bahagian dalam aksi kelayakan Piala Dunia FIFA 2022 yang terdekat.

“Rashford melapor diri ke St. George’s Park dengan kecederaan yang menyebabkan dia terlepas kemenangan 5-0 ke atas San Marino dan, selepas penilaian lanjut, diputuskan dia akan meneruskan pemulihan bersama Manchester United.

“Saka kekal di Arsenal untuk pemeriksaan lanjut dengan harapan dapat menyertai The Three Lions tetapi kini dia tidak dapat beraksi dalam perlawanan menentang Albania dan Poland,” kata FA Inggeris.

Pemain remaja Arsenal, Saka membuat penampilan sulung untuk England ketika menentang Wales pada Oktober dan mengumpul tiga kap selepas itu.

Rashford hanya tampil dua kali dalam lapan perlawanan England tahun ini dan direhatkan selepas kecederaan kaki yang turut membuatkan dia terlepas aksi suku akhir Piala FA di mana United tewas kepada Leicester. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top