Manchester: Beberapa hari selepas pengurus baharu Manchester United, Ruben Amorim, menegaskan Marcus Rashford perlu “mahu” untuk kembali ke prestasi terbaiknya, penyerang berusia 27 tahun itu membuktikan kemampuannya dengan dua gol dalam kemenangan 4-0 ke atas Everton pada Ahad.
Namun, Amorim pantas memberi amaran bahawa Rashford, yang kini sudah menjaringkan tiga gol sejak pengendali Portugal itu mengambil alih seminggu lalu, tidak boleh berpuas hati selepas mencatatkan dua gol dalam satu perlawanan liga buat kali pertama dalam tempoh hampir dua tahun.
“Dia mampu melakukan lebih banyak lagi, jadi dia perlu terus meningkatkan diri. Dia sudah membuktikannya sebelum ini,” kata Amorim mengenai Rashford, yang pernah menjaringkan 30 gol dalam semua kejohanan pada musim cemerlang 2022-23.
“Tetapi dia dan pemain lain boleh bermain dengan lebih baik. Persembahan ini bagus, tetapi esok dia perlu berehat dan mula memikirkan tentang Arsenal.”
Rashford menyambut baik cabaran itu.”(Amorim) memang seorang yang tegas tetapi memberi dorongan untuk kami menyerlahkan kekuatan masing-masing. Itu yang menghasilkan persembahan pasukan yang mantap,” kata Rashford.
“Harapnya, kami dapat membina momentum ini dan terus maju. Kami perlu terus bekerja keras setiap hari untuk memenuhi tuntutannya.”
Joshua Zirkzee turut menyumbang dua gol dalam kemenangan besar United ke atas Everton, yang melonjakkan mereka tiga anak tangga ke kedudukan kesembilan Liga Perdana.
Namun, Amorim mengingatkan penyokong agar tidak terlalu awal memikirkan tentang peluang United kembali ke Liga Juara-Juara.
“Sukar untuk saya katakan. Jika saya kata tidak (United tidak akan kembali ke Eropah), anda akan kata saya tidak layak jadi jurulatih Manchester United, tetapi saya mahu jujur dengan peminat,” jelas Amorim.
“Jadi, mari fokus pada persembahan, bukan keputusan. Saya tahu, pada akhirnya, saya akan dinilai berdasarkan kedudukan akhir kami. Tapi sekarang, fokus hanya pada perlawanan seterusnya dan kualiti persembahan.”
© New Straits Times Press (M) Bhd
