Rasuah permit ubah suai rumah, 2 individu direman

Rasuah permit ubah suai rumah, 2 individu direman

am@hmetro.com.my

Kangar: Dua individu termasuk pesara pihak berkuasa tempatan (PBT) di Perlis direman tujuh hari hingga 21 Julai untuk siasatan meminta dan menerima rasuah RM70,000 bagi kelulusan permit ubah suai rumah di sekitar Perlis sejak tiga tahun lalu.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Ana Rozana Mohd Nor selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis di Mahkamah Majistret hari ini.

Terdahulu, pasangan lelaki dan wanita berusia 61 serta 37 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Perlis, semalam.

Sumber berkata, kedua-dua suspek dipercayai bersubahat meminta dan menerima sejumlah wang daripada pemohon sebagai balasan memudahkan proses kelulusan permit sejak 2022.

“Suspek lelaki yang sudah bersara dipercayai menerima bayaran antara RM300 hingga RM9,000 daripada pemohon melalui pemindahan ke akaun bank peribadi miliknya.

“Dianggarkan sebanyak 200 transaksi dipercayai dilakukan oleh suspek berdasarkan fail permohonan permit ubah suai rumah yang sejak 2022 hingga 2024 yang mencecah sehingga RM70,000,” katanya.

Menurut sumber, suspek lelaki pernah bertugas sebagai pembantu penguat kuasa yang mengendalikan sebarang ubah suai rumah, manakala wanita penolong pegawai di jabatan sama.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perlis, Mohd Nor Adha Ab Gani ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top