PERSATUAN Bola Sepak Kedah (KFA) akan mengadakan mesyuarat khas dalam masa terdekat bagi membincangkan isu rasuah yang terpalit dengan persatuan berkenaan.
Mesyuarat itu sekali gus mengesahkan penahanan Ketua Pegawai Eksekutif KFA, Zulkifli Che Haron bersama tiga individu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Jumaat.
Exco Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup serta Belia dan Sukan Negeri, Muhamad Radhi Mat Din berkata, kes rasuah itu amat mengejutkannya kerana melibatkan individu yang paling ‘bekerja’ dalam persatuan terbabit.
Oleh itu katanya, mesyuarat berkenaan perlu diadakan untuk mendapat pencerahan dengan lebih terperinci tentang rasuah yang melibatkan jumlah lebih RM6 juta.



