MADRID: Ratusan pendatang asing dilaporkan berjaya memasuki wilayah enklaf Sepanyol di Afrika Utara, Ceuta, dari Maghribi sepanjang minggu lalu, menurut pemimpin wilayah berkenaan.
Juan Jesus Vivas berkata, kemasukan beramai-ramai itu telah menjejaskan sumber tempatan dan mendesak Kerajaan Sepanyol untuk segera campur tangan.
Menteri Dalam Negeri Sepanyol, Fernando Grande-Marlaska dijangka melawat kawasan terbabit, menurut agensi berita Reuters.
Rakaman video memaparkan pendatang asing berenang dan menggunakan pelampung serta alat bantuan pernafasan lain untuk sampai ke Ceuta pada Khamis.
Sebahagian lagi bertindak merempuh pintu pagar di sempadan.
Ceuta, yang terletak di pesisir utara Maghribi dan dipisahkan dari tanah besar Sepanyol oleh Selat Gibraltar sekian lama menjadi lokasi tumpuan bagi pendatang yang cuba menyusup masuk ke Eropah.
Awal bulan ini, Mahkamah Agung Sepanyol memutuskan bahawa pendatang yang dipintas di laut semasa cuba memasuki Ceuta atau Melilla tidak boleh diusir secara sewenang-wenangnya kembali ke Maghribi.
Kementerian Dalam Negeri Sepanyol memaklumkan, pihaknya percaya rangkaian sindiket penyeludupan manusia mengeksploitasi keputusan mahkamah itu.
Eksploitasi itu dibuat bagi mendorong kemasukan pendatang tanpa izin, yang sebahagian besarnya golongan muda.
Kementerian itu menegaskan bahawa pihaknya bekerjasama rapat dengan Maghribi dalam pelbagai bidang termasuk isu migrasi dan kedua-dua negara bersetuju untuk mempertingkat usaha menangani kemelut berkenaan. – AGENSI




