Rauf peneraju baharu MAFA

Rauf peneraju baharu MAFA

Rauf dilantik sebagai presiden baharu MAFA. – Foto Facebook MAFA

KETUA Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh kini memimpin Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA) sebagai presiden bagi menggantikan Datuk Nur Azmi Ahmad yang mengemudi persatuan itu sejak Ogos tahun lalu.

Perkembangan terbaharu itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan MAFA pada Selasa.

“Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif MAFA di Wisma MAFA semalam (Isnin) yang dipengerusikan oleh Timbalan Presidennya, Datuk Mohd Yusoff Mahadi memutuskan presiden badan induk itu kini disandang Ab Rauf,” katanya.

Menurut kenyataan itu, mengikut perlembagaan MAFA, Ketua Menteri Melaka yang baharu secara automatik akan menyandang jawatan presiden.

“Pihak Jawatankuasa Eksekutif MAFA mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang akan menerajui persatuan bagi mengembalikan kegemilangan bola sepak Melaka.

“Semoga dengan sentuhan Datuk Seri Ab Rauf akan terus membawa bola sepak Melaka ke tahap yang lebih membanggakan demi meletakkan nama negeri Melaka gah dalam sukan nombor satu dunia ini pada masa hadapan.

Kenyataan itu memaklumkan bahawa pihak jawatankuasa juga merakamkan ribuan terima kasih kepada Nur Azmi yang telah memimpin persatuan sejak Ogos 2022 dan mencurahkan jasa dan bakti kepada sukan bola sepak negeri Melaka.

“Antaranya penubuhan kelab bola sepak Melaka FC yang ketika ini bersaing dalam saingan Liga M3 di samping penganjuran Kejohanan Piala TYT Melaka (Governor Cup) dan pembangunan akar umbi.

“Segala jasa dan sumbangan beliau kepada bola sepak Melaka akan terus diabadikan dalam lipatan bola sepak negeri sebagai salah seorang presiden persatuan yang kini hampir menginjak usia satu abad penubuhannya pada 1924,” tambah kenyataan itu.