Kuala Lumpur: Selepas kira-kira lebih dua dekad tanpa lagu baharu, penyanyi Hazrul Nizam kini tampil dengan lagu Rawan.
Single hasil nukilan Amylea Azizan itu menjadi pengubat rindu peminat Hazrul selepas sekian lama menantikan kemunculannya dengan karya baharu.
Lagu Rawan mendapat maklum balas positif selepas dilancarkan di semua platform penstriman muzik termasuk YouTube pada 13 Oktober lalu.
“Syukur Alhamdulillah ramai yang suka dan mungkin terubat rindu untuk saya keluarkan lagu solo selepas 21 tahun tiada lagu semenjak Kaulah Segalanya.
“Menariknya lagi lagu ini dipilih sebagai runut bunyi (OST) drama Satu Hari Nanti dibintangi Bella Astillah, Ezaidi Aziz dan ramai lagi terbitan Mache All Star United,” kata penyanyi asal Singapura itu.
Mengenai muzik video (MV) pula, Hazrul juga bekas peserta program realiti, Gegar Vaganza musim ke-9 (GV9) berasa bertuah kerana dibantu barisan pelakon hebat bagi menambah seri single nyanyiannya itu.
“Syukur dapat berkerja sama dengan legenda antaranya Beto Kusyairy, Nabila Huda dan Datuk Rahim Razali bagi MV Rawan. Ia diarahkan oleh Bobby Husaini dan diterbitkan oleh HMA Entertainment.
“Dalam MV ini bukan sahaja menyanyi malah saya menampakkan seperti ingin bercerita mengenai situasi kehilangan diri kerana kalau cerita pasal cinta macam dah banyak lagu sebegitu.
“Saya nak buat kelainan sikit dan Alhamdulillah apabila saya berkongsi idea dengan pasukan saya, Bobby, dia pun menambah idea mengikut kemahuan saya dan terciptalah MV ini,” kata Hazrul yang mendedahkan Rawan menceritakan mengenai kehilangan yang boleh ditafsirkan dalam pelbagai maksud mengikut pendengar.
Tambah Hazrul, dia masih menerima undangan untuk menjayakan persembahan, namun terpaksa menolak beberapa tawaran di Malaysia berikutan tiada permit daripada Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL).
Rawan juga boleh dianggap jalan untuk membuat kebangkitan semula penyanyi itu dalam industri muzik.
“Selepas GV9, saya pulang ke Singapura untuk uruskan kerja hartanah saya. Banyak juga undangan di Singapura, Alhamdulillah dan di Malaysia juga. Tapi kerana saya tiada permit PUSPAL, banyak yang terpaksa saya tolak.
“Lagu solo ini mengambil masa agak lama kerana selepas GV9 saya ada lancarkan lagu duet bersama penyanyi Singapura, Diana Nazyra berjudul Sejuta Kata. Selepas itu, bergabung pula dengan kawan baik saya di GV9 iaitu Dina Nadzir dengan lagu Berat Hati.
“Jadi saya tunda lancarkan lagu Rawan ini. Kalau nak ikutkan, sudah 21 tahun sejak lagu solo, Kaulah Segalanya. Saya sangat teruja untuk lagu ni. Jadi selepas GV9 itu saya tidaklah berdiam diri sahaja. Masih berkarya dan akan terus berkarya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




