
Jemaah An-Nadzir menunaikan solat sunat Aidiladha di pekarangan Masjid Baitul Muqaddis, Gowa pada pagi Jumaat. Foto Antara
SULAWESI SELATAN – Seramai 400 jemaah menunaikan solat sunat Aidiladha di pekarangan Masjid Baitul Muqaddis, Gowa, di sini pada pagi Jumaat.
Menurut portal berita CNN Indonesia, solat tersebut dipimpin oleh pemimpin pengikut An-Nadzir, Samiruddin Pademmui, yang turut bertindak sebagai khatib.
Kumpulan berkenaan menyambut Hari Raya Korban sehari lebih awal daripada tarikh rasmi yang diumumkan oleh kerajaan Indonesia.
Samiruddin berkata, tarikh 10 Zulhijah ditentukan berdasarkan cerapan anak bulan yang dilakukan pada 27 Mei lalu.
Selesai solat, jemaah An-Nadzir melaksanakan ibadah korban dengan menyembelih dua ekor lembu dan dua ekor kambing.
Pergerakan An-Nadzir merupakan satu aliran keagamaan yang diasaskan oleh ulama dikenali sebagai Syamsuri Abdul Majid atau Sheikh Imam Muhammad Al-Mahdi Abdullah.
Aliran tersebut mula disebarkan di Sulawesi Selatan pada tahun 1998 oleh Samiruddin dan beberapa rakan seperjuangannya.