RCI Tabung Haji: Siapa orang politik UMNO terlibat sakau? – Akmal Saleh

RCI Tabung Haji:  Siapa orang politik UMNO terlibat sakau? – Akmal Saleh

Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Akmal Saleh mempersoalkan dakwaan penglibatan individu politik UMNO dalam isu kerugian Lembaga Tabung Haji (TH) susulan pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, beliau mempersoalkan pihak yang dikaitkan dengan dakwaan tersebut selain meminta penjelasan berhubung punca sebenar masalah yang berlaku.

“Jadi siapa orang politik UMNO yang terlibat dan dikatakan sakau?” soal beliau.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu, laporan RCI yang didedahkan kepada umum menunjukkan isu TH berpunca daripada kelemahan pengurusan serta tadbir urus dalaman organisasi berkenaan.

“Jadi persoalan yang timbul hari ini,adakah kerugian ini akibat rasuah atau kegagalan tadbir urus oleh pegawai yang mentadbir?
“Adakah pemberian dividen yang tinggi kepada penyimpan dan subsidi yang tinggi kepada jemaah haji dianggap sakau?” katanya lagi.

Kerajaan sebelum ini mendedahkan laporan RCI TH yang antara lain mendapati kerugian sehingga RM12 bilion berlaku akibat salah urus tadbir yang serius.

Artikel lain: RCI Tabung Haji: Kebenaran terbukti! Asyraf Wajdi luah syukur, saman RM5 juta bakal menanti pemfitnah

Antara faktor dikenal pasti ialah tindakan membayar agihan keuntungan tinggi kepada pendeposit antara 2014 hingga 2017 yang melebihi kemampuan kewangan TH sehingga menyebabkan rizabnya menyusut.

Laporan itu turut menyatakan pengecutan deposit berlaku selepas agihan hibah pada kadar 1.25 peratus pada 2019, apabila saiz deposit menurun daripada kira-kira RM73 bilion sebelum pengumuman hibah kepada RM69 bilion pada akhir 2018.

Scroll to Top