KANGAR: Kegagalan meningkatkan hasil padi menimbulkan persoalan keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) varieti benih padi di negara ini.
Pengerusi Suara Tani Malaysia, Mohd. Shazwan Suban berkata, pembentangan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dalam seminar agromakanan sebelum ini menunjukkan varieti padi MR297 mempunyai potensi hasil sehingga 9.1 tan metrik sehektar.
Namun hakikatnya purata hasil pesawah didakwa masih di antara empat hingga lima tan metrik sahaja.
Katanya, potensi hasil itu jauh tersasar daripada sepatutnya di sebalik kerajaan selama bertahun-tahun menyediakan dana yang besar untuk tujuan R&D.
“Ia sekali gus menimbulkan persoalan siapakah sebenar yang gagal. Adakah penyelidik telah menjalankan tugas mereka tetapi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) gagal menterjemahkan hasil penyelidikan kepada pelaksanaan di peringkat pesawah?
“Selama ini, kerajaan membelanjakan dana besar untuk R&D namun sehingga hari ini, majoriti pesawah masih belum menikmati manfaat sepenuhnya daripada teknologi seperti varieti padi berpotensi tinggi, pertanian tepat, mekanisasi moden serta inovasi lain yang mampu meningkatkan hasil dan mengurangkan kos pengeluaran,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, semalam.
Mohd. Shazwan seterusnya mempersoal berapakah jumlah sebenar peruntukan R&D telah dibelanjakan dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini dan impak yang boleh diukur kepada pesawah.
“Siapakah harus dipertanggungjawabkan apabila teknologi berjaya di makmal namun gagal sampai ke sawah? Apakah halangan sebenar menyebabkan pemindahan teknologi kepada pesawah masih terlalu perlahan?,” soalnya.
Sementara itu, Mohd. Shazwan berkata, KPKM tidak boleh hanya berharap dengan hasil atau dapatan melalui seminar, pembentangan dan laporan tahunan semata-mata.
Katanya, ukuran kejayaan sebenar bukanlah jumlah kajian diterbitkan, tetapi sejauh mana teknologi meningkatkan hasil pesawah, mengurangkan kos pengeluaran dan memperkukuhkan keterjaminan makanan negara.
“Kami menggesa agar KPKM menetapkan sasaran yang jelas, telus dan boleh diukur. Dalam tempoh tiga musim penanaman akan datang ini, berapakah peningkatan purata hasil sehektar disasarkan melalui pelaksanaan teknologi R&D sedia ada?
“Selain itu, apakah pelan tindakan, garis masa dan mekanisme pemantauan akan digunakan bagi memastikan teknologi tersebut benar-benar sampai kepada pesawah?
“Sekiranya kementerian gagal menetapkan sasaran jelas, maka rakyat berhak mempersoal keberkesanan dasar, perbelanjaan R&D serta hala tuju kementerian menjamin keterjaminan makanan negara,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, Malaysia berdepan cabaran dalam aspek keselamatan makanan dengan setiap kelewatan melaksanakan inovasi bermaksud negara terus kehilangan peluang meningkatkan pengeluaran beras tempatan, mengurangkan kebergantungan kepada import serta memperkukuh pendapatan pesawah.
Katanya, pesawah tidak memerlukan terlalu banyak seminar sebaliknya teknologi mampu sampai ke sawah. – UTUSAN




