PENGURUS Arsenal, Mikel Arteta, menerima kritikan susulan reaksinya terhadap kad merah pertama dalam karier profesional pemain muda, Max Dowman ketika The Gunners tersingkir daripada saingan Piala Liga Inggeris selepas tewas mengejut kepada Fleetwood Town.
Dowman, 16, dilayangkan kad merah pada minit ke-85 selepas bertindak menendang pemain tengah Fleetwood, Harrison Neal susulan satu terjahan keras di tepi padang.
Tindakan pemain sayap itu mencetuskan kekecohan sebelum pengadil Michael Salisbury mengarahkannya meninggalkan padang.
Arteta jelas tidak berpuas hati dengan tindakan pemain remaja itu apabila dilihat merenung tajam Dowman sebelum sempat berkata sesuatu kepadanya ketika pemain berkenaan berjalan menuju ke terowong stadium.
Bekas pemain Liga Perdana Inggeris (EPL), Jobi McAnuff menyifatkan reaksi Arteta itu sebagai sesuatu yang kurang menyenangkan malah merasakan terdapat unsur lain di sebalik tindakannya terhadap pemain muda berkenaan.
“Saya langsung tidak menyukai perkara ini. Reaksi itu bukan sesuatu yang biasa dan saya merasakan ada maksud tersirat di sebaliknya,” katanya.
Legenda Arsenal, Paul Merson, turut mempersoalkan pendekatan Arteta dengan menegaskan bahawa Dowman masih berusia 16 tahun dan memerlukan bimbingan ketika berdepan situasi sukar seperti itu.
“Anda perlu ingat dia baru berusia 16 tahun, dia masih budak. Jika pemain seperti Viktor Gyokeres dilayangkan kad merah, Arteta tidak akan bertindak begitu. Tetapi dia melakukannya terhadap seorang remaja berusia 16 tahun.
“Dia seorang pemain berbakat, tetapi dia juga manusia. Bagi saya, saya akan merangkul bahunya dan memberikan sokongan. Itulah tindakan yang sepatutnya dilakukan dalam situasi seperti ini,” katanya.
Merson percaya Arteta mungkin akan menyesali tindakannya itu apabila melihat kembali insiden berkenaan, sambil berpendapat pengendali Arsenal itu sepatutnya mengambil pendekatan berbeza dalam menangani kesilapan pemain muda berkenaan.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai perkara yang disampaikan kepada Dowman ketika pemain itu meninggalkan padang, Arteta memberitahu BBC Sport bahawa mereka sudah membincangkan perkara berkenaan sebelum perlawanan.



