PETALING JAYA: Kualiti udara di seluruh negara kekal pada tahap baik dan sederhana pagi ini dengan tiada kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat pukul 9 pagi tadi.
Berdasarkan Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS), sebanyak 43 stesen pemantau merekodkan bacaan IPU pada tahap sederhana.
Bacaan itu antaranya melibatkan Johor, Sarawak, Negeri Sembilan, Pahang, Sabah, Melaka, Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Memuatkan artikel berkaitan…
Sementara itu, 25 stesen pemantau lain merekodkan bacaan IPU pada tahap baik.
Bacaan IPU sifar hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat manakala bacaan melebihi 300 dikategorikan sebagai berbahaya.
Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Meteorologi (METMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dijangka berlaku di Langkawi, Kedah dan Pulau Tioman, Pahang sehingga pukul 9 pagi.
Amaran cuaca sama turut melibatkan Sarawak, khususnya Kuching dan Samarahan termasuk Samarahan, Asajaya serta Sebuyau.-UTUSAN




