Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan meneliti kajian yang tular di media sosial berhubung dakwaan pembabitan mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT) dalam kegiatan ‘sugar baby’.
Belum mempunyai maklumat terperinci
Memetik laporan daripada Buletin TV3, Menterinya, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir menyatakan, pihaknya masih belum mempunyai maklumat terperinci mengenai jumlah mahasiswa yang didakwa terbabit dalam kegiatan berkenaan.
Walau bagaimanapun, beliau memaklumkan kementerian akan mendapatkan maklumat lanjut bagi memastikan jumlah sebenar mahasiswa yang dikaitkan dengan isu itu.
“Kajian memang dibuat untuk kes seperti itu dan sering kali kita dengar mengenainya dalam media dan sebagainya.
“Cuma Yang Berhormat (Datuk Mumtaz Md Nawi) bertanya dari segi bilangannya dan berapa ramai yang terbabit.
“Jadi, perkara itu mungkin saya akan sediakan nanti. Kalau ada (maklumat) kita akan dapatkan,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 Peringkat Dasar di Dewan Rakyat.
Foto: FB Zambry Abd. Kadir
Tular kegiatan tak bermoral
Sebelum ini, tular di media sosial satu kajian yang memaparkan jumlah mahasiswa daripada setiap IPT yang didakwa terlibat dalam kegiatan pelacuran ‘sugar baby’.

KPT pandang serius
Mengulas lanjut, Zambry menambah, KPT memandang serius isu berkenaan dan akan meneliti kesahihan maklumat yang dikemukakan menerusi kajian terbabit.
Beliau turut tidak menolak kemungkinan angka yang dilaporkan hanya berdasarkan anggaran dan tidak semestinya menggambarkan jumlah sebenar mahasiswa yang terlibat.
“Kita akan dapatkan jumlah sebenar, cuma kalau bergantung kepada kajian, apa yang kita hendak buat dan dalam bentuk bagaimana definisinya.
“Ataupun (ia) sekadar jangkaan, itu pun kita perlu lihat dan akan dapatkan,” katanya.
Foto: FB Zambry Abd. Kadir
Sumber: Buletin TV3 (Mukhriz Mat Husin)




