Real Sociedad julang Copa del Rey

Real Sociedad julang Copa del Rey

Seville: Real Sociedad menewaskan Atletico Madrid 4-3 menerusi penentuan penalti untuk menjulang Copa del Rey buat kali keempat dalam sejarah kelab selepas seri 2-2 dalam aksi final mendebarkan, awal pagi tadi di Seville.

Selepas Alexander Sorloth dan Julian Alvarez gagal menyempurnakan sepakan penalti buat Atletico yang dikendalikan Diego Simeone, Pablo Marin memastikan kemenangan buat wakil Basque itu dengan penyudah kemas.

Real Sociedad bermula garang apabila Ander Barrenetxea meledak gol pembukaan seawal 14 saat, sebelum Ademola Lookman menyamakan kedudukan buat Atletico.

Mikel Oyarzabal kemudian meletakkan Sociedad di depan menerusi sepakan penalti sebelum rehat, namun Alvarez menyelamatkan Atletico apabila menjaringkan gol penyamaan sekali gus mengheret perlawanan ke masa tambahan dan seterusnya penentuan penalti.

Musim Sociedad sebelum ini tampak sukar, namun pelantikan jurulatih dari Amerika Syarikat, Pellegrino Matarazzo pada Disember mengubah hala tuju pasukan itu.

“Ia detik untuk dinikmati, untuk bermimpi dan percaya… budak yang pernah bermimpi tentang ini kini sudah mencapainya,” kata penjaga gol Sociedad, Unai Marrero yang menyelamatkan dua sepakan penalti.

Atletico yang mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL) dan pernah menjuarai piala itu sebanyak 10 kali, terpaksa menelan kekecewaan sambil mengenang kesilapan sendiri.

“Kami sudah lakukan yang terbaik, tetapi terpaksa mengejar permainan sejak awal.

“Kami ada beberapa peluang sebelum tamat 90 minit, jika berjaya disempurnakan mungkin mengubah cerita perlawanan.

“Kami perlu ucap tahniah kepada Sociedad, itulah hakikatnya. Ia menyakitkan tetapi kami perlu teruskan,” kata kapten Atletico, Koke.

Di Stadium La Cartuja, perlawanan menyaksikan pertembungan dua pasukan yang gemar menyerang pantas dan terus, dengan Sociedad membuktikannya apabila menjaringkan gol terpantas dalam sejarah final Copa del Rey.

Goncalo Guedes melakukan larian di sebelah kiri menyambut hantaran jauh sebelum menghantar bola kepada Barrenetxea yang menanduk masuk menewaskan Juan Musso ketika Atletico masih belum menyentuh bola.

Pasukan kendalian Simeone yang kali terakhir menjuarai pertandingan itu pada 2013, kembali menyamakan kedudukan menerusi jaringan Lookman.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top