sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Selangor FC akan menggunakan kelebihan beraksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bertemu Terengganu FC pada aksi separuh akhir kedua malam esok, akan digunakan sebaik mungkin untuk memburu kemenangan sekali gus mara ke final Piala FA.
Pengurus pasukan Selangor FC, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid berkata, perlawanan esok amat penting dan perkara itu boleh dilihat apabila barisan pemain begitu bersemangat untuk turun dalam aksi itu nanti.
“Secara keseluruhan pasukan bersedia menghadapi perlawanan Piala FA menentang pasukan Terengganu pada esok di stadium MBPJ.
“Tiada sebarang kecederaan dilaporkan di dalam pasukan dan pemain kelihatan bersemangat untuk menjayakan misi layak ke perlawanan akhir Piala FA 2024,”katanya kepada Arena Metro.
Selain itu, beliau juga berharap penyokong setia Merah Kuning akan hadir ke stadium kerana sokongan mereka amat diperlukan dan bakal memberi kekuatan tambahan buat pemain menampilkan aksi terbaik dalam perlawanan itu.
“Pasukan mengharapkan sokongan padu daripada penyokong Red Giants dan berharap mereka akan datang untuk memenuhi stadium pada malam esok,” kata Mahfizul.
Terdahulu, dalam perlawanan separuh akhir pertama, skuad kendalian Nidzam Jamil tewas 2-3 kepada Terengganu FC dan disebabkan itu, mereka perlu mendapatkan gol awal bagi mengimbangi semula permainan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
