Rehatkan Azam, benarkan siasatan dibuat – Mapim – Utusan Digital

SHAH ALAM: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dicadang supaya direhatkan bagi membolehkan dakwaan terhadapnya berhubung pemilikan saham itu dijelaskan.

Dakwaan terhadap beliau sebagai ketua penguat kuasa hal berkaitan dengan integriti itu disifatkan sebagai berprofil tinggi dan memerlukan siasatan mengikut undang-undang serta tidak seharusnya dikompromi oleh mana-mana pihak.

Menurut Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Malaysia (Mapim), Mohd. Azmi Abdul Hamid, sebuah badan bebas wajar diwujudkan bagi melakukan siasatan memandangkan dakwaan berkenaan membabitkan jabatan yang diketuai Azam sendiri.

“Tuntutan ketua SPRM direhatkan supaya siasatan dijalankan oleh pihak yang bebas dan berwibawa adalah logik dan wajar. Pendakwaan secara selektif tidak boleh mewajahi agensi SPRM.

“SPRM agensi tertinggi diwujudkan melalui perundangan negara dengan segala bidang kuasa yang memungkinkan tindakan diambil terhadap mereka yang dikesan terbabit dengan rasuah atau salah guna kuasa sama ada terhadap agensi lain mahupun SPRM itu sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima laporan berhubung pendedahan dibuat oleh Azam membenarkan adiknya menggunakan akaun beliau untuk pembelian saham.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan dalam satu kenyataan berkata, laporan polis sudah pun dirujuk kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk tindakan lanjut.

Beliau bersama pihak terlibat sebelum itu diminta menjelaskan dan mengesahkan kenyataan yang dibuat berhubung dakwaan tersebut serta mengemukakan bukti-bukti yang berkaitan dalam isu pemilikan saham dalam beberapa syarikat berdasarkan Seksyen 25 Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991.

Dalam pada itu, Mohd. Azmi turut mempersoalkan kewajaran beberapa pegawai kanan SPRM yang menyokong Azam sedangkan siasatan terhadapnya belum lagi dimulakan.

“Ditambah pula komentar dari ahli politik yang berhujah mengikut pandangan masing-masing. Soalnya kenapa proses penyiasatan tidak diberi tumpuan?

“Kenapa pihak yang berkenaan tidak diperintahkan berehat  untuk siasatan dimulakan sebagaimana kes-kes sebelumnya  yang melibatkan pegawai dalam agensi lain. Kenapa kes ini menjadi sedemikian kompleks dan dilayan sedemikian istimewa,” soalnya.