Rekod Negeri Sembilan lebur di tangan KL City

Rekod Negeri Sembilan lebur di tangan KL City

KUALA LUMPUR: Jaringan tunggal kapten Kuala Lumpur City (KL City), Paulo Josue sudah cukup untuk memastikan kemenangan 1-0 ke atas Negeri Sembilan dalam aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras sebentar tadi.

Keputusan tersebut menyaksikan rekod tanpa kalah Negeri Sembilan dalam empat perlawanan berturut-turut sebelum ini lebur selepas kali terakhir tewas di tangan Sabah 3 Julai lalu dengan jaringan sama.

Malah, KL City turut memadam rekod tanpa kalah skuad Hobin Jang Hobin di gelanggang lawan sepanjang Liga Super musim ini.

Enam minit perlawanan bermula, Negeri Sembilan memiliki peluang terbaik untuk membuka jaringan selepas dihadiahkan sepakan percuma betul-betul di garisan kotak penalti tuan rumah.

Begitupun, rembatan pemain import dari Brazil tepat ke tangkapan penjaga gol KL City, Kevin Ray Mendoza.

Tersentak dengan serangan itu, skuad kendalian Bojan Hodak kembali mengatur serangan namun gagal mengatasi penjaga gol pelawat Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

Aksi serang menyerang disajikan kedua-dua pasukan tetapi buntu mencipta jaringan.

Ketika perlawanan babak pertama memasuki minit terakhir, Josue menceriakan penyokong tuan rumah apabila bijak menanduk bola sepakan penjuru yang dilakukan Zhafri Yahya.

Bersambung babak kedua, Negeri Sembilan cuba bangkit memburu gol penyamaan namun beberapa percubaan mereka tidak berjaya disudahkan dengan jaringan termasuk rembatan Matheus Alves pada minit ke-72.

Kekalahan itu tidak menggugat kedudukan Negeri Sembilan untuk kekal di tangga ketiga dengan mengumpul 32 mata selepas mengharungi 17 perlawanan manakala KL City pula di kedudukan keenam dengan mengumpul 21 mata.