Remaja 14 tahun ditemukan lemas dalam tasik

Remaja 14 tahun ditemukan lemas dalam tasik

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Remaja lelaki ditemukan lemas di dalam tasik dekat loji berhampiran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Permai, Jalan Denai 12, Kempas di sini, semalam.

Mayat remaja berusia 14 tahun itu ditemukan pada 7.35 malam selepas lebih sejam operasi mencari dan menyelamat dilancarkan.

Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kempas, Mohd Yazid Abdul Rahman, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 6 petang semalam.

Beliau berkata, seramai sembilan anggota bomba kemudian dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya pasukan di tempat kejadian, didapati seorang mangsa lemas di dalam sebuah tasik.

“Mangsa ditemukan 7.35 malam,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan dan kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, operasi ditamatkan pada 8.10 malam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top