Remaja 19 tahun direman empat hari, bantu siasatan kemalangan ragut lima nyawa

Remaja 19 tahun direman empat hari, bantu siasatan kemalangan ragut lima nyawa

KLUANG: Remaja 19 tahun yang didakwa menyebabkan kemalangan meragut nyawa empat sekeluarga di Jalan Renggam-Simpang Renggam, Kluang, Isnin lalu disambung reman empat hari lagi bermula hari ini.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Hakim Mujib Saroj bagi membolehkan suspek yang memandu secara laju dan melulu itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Remaja lelaki tersebut ditahan semula untuk siasatan membunuh tiba di Mahkamah Sesyen, di sini pada pukul 9 pagi tadi.

Sebelum ini, remaja itu direman dua hari bermula 2 Jun, kemudian disambung sehari lagi pada semalam, mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Siasatan mengikut Seksyen 42 (1) APJ 1987 masih diteruskan berdasarkan video tular yang menunjukkan kenderaan berkenaan dipandu laju dan melulu.

Terdahulu, akhbar melaporkan suspek bersama abangnya, Goh Yi Sheng, 22, didakwa memandu secara laju dan melulu dalam kejadian yang membabitkan lima buah kereta.

Kemalangan tersebut meragut nyawa Mohd. Aiman Mohd. Rashid, 36, dan isterinya, Nor Azlina Abd. Latif, 33, serta dua ahli keluarganya, Semek Mat Soh, 75, dan Nur Airish Syifa Sidek, 10.

Turut maut ialah abang kepada suspek yang meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital akibat kecederaan parah. – UTUSAN

Scroll to Top