Remaja didapati bersalah bunuh polis dalam rusuhan bola tampar Greece

Remaja didapati bersalah bunuh polis dalam rusuhan bola tampar Greece

Piraeus: Mahkamah di Greece mendakwa seorang remaja lelaki bersalah atas tuduhan membunuh tanpa niat susulan kematian seorang anggota polis yang terkena suar dalam insiden rusuhan membabitkan penyokong fanatik di satu perlawanan bola tampar pada 2023.

Insiden tragis itu berlaku ketika pergaduhan ganas antara penyokong Olympiakos dan Panathinaikos — dua kelab yang sering mencetuskan keganasan merentasi pelbagai sukan di negara itu.

Mangsa, Georgios Lyngeridis, 31, mengalami kecederaan parah dalam kekecohan di luar dewan perlawanan sebelum disahkan meninggal dunia beberapa minggu kemudian.

Tertuduh, yang ketika itu berusia 18 tahun, menafikan dakwaan membunuh tanpa niat, namun mahkamah memutuskan sebaliknya selepas meneliti bukti dan keterangan berkaitan insiden berkenaan.

Kematian Lyngeridis mencetuskan siasatan lebih meluas yang menyaksikan puluhan penyokong tegar kelab sukan Olympiakos ditahan.

Pengerusi bahagian bola sepak Olympiakos, Evangelos Marinakis, bersama empat ahli lembaga kelab itu dijangka dibicarakan atas pertuduhan kesalahan kecil susulan siasatan berkenaan.

Kesemua mereka menafikan sebarang salah laku.

Kerajaan Greece sebelum ini berjanji akan mengetatkan kawalan dan mengambil tindakan tegas bagi membendung budaya keganasan dalam sukan yang kian berleluasa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top