Dapatan MaCoS bantu SPRM fahami budaya rasuah

Dapatan MaCoS bantu SPRM fahami budaya rasuah

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kajian Mengenai Rasuah di Malaysia (Malaysian Corruption Study – MaCoS) yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka ruang kepada pemahaman lebih mendalam terhadap budaya rasuah di negara ini, termasuk punca, corak, serta bentuk sogokan yang paling kerap berlaku dalam sektor awam dan swasta.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman berkata, kajian itu untuk mengumpul maklumat berkaitan pengalaman penduduk ketika berurusan dengan sektor awam dan swasta, serta faktor utama yang mendorong berlakunya rasuah.

“Dapatan kajian MaCoS membolehkan SPRM memahami ciri-ciri rasuah daripada segi kumpulan penduduk berisiko, jenis penjawat awam dan pekerja swasta yang terbabit, prosedur pentadbiran berisiko, jenis rasuah diminta, sebab utama untuk membayar rasuah, akibat menerima atau menolak rasuah dan sebagainya.

“Selain itu, soalan kajian juga berkaitan kesedaran, pengetahuan dan pandangan berkaitan rasuah,” katanya dalam ucapan ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Kajian MaCoS Bilangan 2 Tahun 2025 di Ibu Pejabat SPRM, di sini, semalam.

Pada mesyuarat itu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) membentangkan laporan operasi Kajian MaCoS Modul Penduduk, manakala pembentangan dapatan kajian oleh pasukan perunding.

Pihak DOSM melaksanakan kajian secara bersemuka MaCoS bermula 1 Mac hingga 14 Jun tahun lalu membabitkan 15,000 responden.

Azmi berkata, pelaksanaan kajian MaCoS itu juga antara inisiatif SPRM dalam usaha memperkasakan Malaysia pada kedudukan 25 Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menjelang 2033 seperti ketetapan penanda aras keenam dalam Ekonomi Madani.

“Dapatan kajian yang berasaskan bukti pengalaman rasuah itu diharapkan akan dapat mengimbangi dapatan CPI yang diukur hanya berdasarkan persepsi masyarakat terhadap rasuah,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top