suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Subang Jaya: Kehilangan seorang remaja lelaki berumur 15 tahun sejak Isnin lalu, terjawab apabila siasatan polis mendapati dia sebenarnya tidur di rumah rakan sebelum pulang ke rumahnya.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kes remaja hilang membabitkan Muhammad Hazriq Firdaus Mohammad Ali itu telah selesai.
“Kes orang hilang (OH) telah selesai apabila OH berjaya ditemui dalam keadaan selamat.
” Siasatan mendapati pada Isnin lalu kira-kira jam 2.30 petang, remaja berkenaan keluar dari rumah menaiki transit aliran ringan (LRT) Puchong Prima ke Kuala Lumpur untuk berjumpa rakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, remaja itu berada di sekitar TRX Mall sehingga jam 7.00 malam sebelum pulang ke Subang Jaya.
Katanya, pada 8.30 malam hari yang sama, remaja itu dibawa ke Rantau Panjang, Klang dan tidur di sebuah rumah keluarga rakan sehingga semalam.
“Pada 9 Januari 2026 kira-kira jam 6 petang, OH pulang semula ke rumah dengan menaiki kenderaan e-hailing,” katanya.
Semalam Harian Metro melaporkan, polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan seorang remaja lelaki berumur 15 tahun yang dilaporkan hilang sejak Isnin lalu di Taman Puchong Permai, di sini.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan Muhammad Hazriq Firdaus Mohammad Ali semalam, pada 9.31 malam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




