Remaja ditemui maut terjatuh kolam tinggal

Remaja ditemui maut terjatuh kolam tinggal

bhnews@bh.com.my

NILAI: Seorang remaja lelaki yang dikhuatiri lemas selepas dilaporkan terjatuh ke dalam sebuah kolam tinggal dekat Taman Bukit Saga, Mantin, di sini, semalam, ditemui maut jam 11.28 malam tadi.

Mangsa dikenali sebagai Danny Izzahagi Muhammad Azrul, 13, dikatakan pergi ke kolam berkenaan untuk memancing bersama lima rakan.

Pegawai operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Saiful Nazri Mohd Nor, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.52 petang semalam.

“Susulan itu, sebuah pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mantin bergegas ke lokasi.

Setiba di sana, pasukan dimaklumkan bahawa seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas selepas dikatakan terjatuh ke dalam kolam.

“Kami difahamkan mangsa pergi kolam lama itu sejak Isnin lalu untuk memancing bersama lima lagi rakan. Namun, mangsa dikatakan terjatuh ke dalam kolam berkenaan pada hari kejadian,” katanya.

“Anggota terus melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan turut dibantu Unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) daripada BBP Teluk Kemang,” katanya ketika dihubungi.

Selepas operasi dijalankan selama lebih tiga jam, katanya, pasukan berjaya menemui remaja berkenaan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dasar kolam itu.

Beliau berkata, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia dan jenazah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top