Remaja hilang sudah ditemui, pelajaran merosot dipercayai punca lari

Remaja hilang sudah ditemui, pelajaran merosot dipercayai punca lari

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Prestasi pelajaran menurun dipercayai punca remaja lelaki keluar dari rumah keluarganya pada 23 Jun lalu, sebelum dia ditemui selamat di kawasan Bukit Bintang, Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, pelajar tingkatan dua berusia 14 tahun itu dijumpai di kawasan pejalan kaki berhampiran sebuah restoran makanan segera di Bukit Bintang kira-kira 3 pagi oleh ibu bapanya sendiri.

“Kemudian, ibu bapa mangsa membawa mangsa ke Balai Polis Seksyen 9, Shah Alam untuk membuat laporan berkaitan penemuan mangsa.

“Siasatan mendapati, punca mangsa keluar dari rumah kerana dimarahi oleh ibunya disebabkan prestasi pelajaran menurun,” katanya kepada media hari ini.

Sarudin berkata, siasatan mendapati sepanjang menghilangkan diri, remaja itu hanya berada di sekitar Bukit Bintang dan tidur di restoran makanan segera di situ.

“Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan ditemui dalam keadaan sihat,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan ibu mangsa membuat laporan polis berhubung kehilangan anak lelakinya pada 24 Jun lalu, selepas remaja itu keluar dari rumah di Pangsapuri Ken Rimba, Seksyen 16 pada 6.45 pagi 23 Jun.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top