hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Dua premis perniagaan di sekitar Jalan 2/3a Pusat Bandar Utara, Pasar Borong Kuala Lumpur, di sini diarah tutup selepas didapati beroperasi tanpa lesen dan dikendalikan warga asing.
Premis terbabit dikesan susulan Operasi Bersepadu Tebah (Premis Perniagaan Kendalian Warga Asing) membabitkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Operasi bermula 11 malam semalam hingga 3 pagi hari ini.
DBKL berkata, dalam operasi itu pihaknya memeriksa premis yang mengusahakan perniagaan borong seperti buah, sayuran, sejuk beku dan barangan am yang beroperasi tanpa lesen, tidak mempamer lesen dan premis dikendalikan warga negara asing.
Katanya, selain itu ia turut menjalankan pemeriksaan terhadap premis yang membuat halangan di laluan awam, tiada lesen papan tanda dan melanggar syarat lesen yang dikeluarkan pihak berkuasa.
“DBKL membuat penutupan serta merta ke atas dua premis perniagaan yang didapati beroperasi tanpa lesen dan dikendalikan oleh warga negara asing.
“Tindakan penguatkuasaan dilaksanakan mengikut kesalahan Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016, Akta Jalan Parit Bangunan 1974, Undang-Undang Kecil Iklan (WPKL) 1982 dan Akta Kerajaan Tempatan 1976,” katanya dalam kenyataan dikongsikan di Facebook, hari ini.
Menurutnya, pihak JIM dan PDRM turut membuat pemeriksaan bersama ke atas pekerja warga asing yang mengendali serta bekerja sebagai pembantu di premis perniagaan yang diperiksa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




