
Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun dilaporkan meninggal dunia selepas memakan tiga bungkus mi segera tanpa dimasak. Foto Agensi
KAHERAH – Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun dilaporkan meninggal dunia selepas memakan tiga bungkus mi segera tanpa dimasak, sekali gus mencetuskan panik orang ramai dan desakan agar penguatkuasaan keselamatan makanan diperketatkan di Mesir serta rantau Arab.
Mangsa, dikenali sebagai Hamza dari daerah El-Marg, dilaporkan mula muntah, berpeluh dan mengalami sakit perut teruk kira-kira 30 minit selepas pulang dari kelas hafazan al-Quran dan menjamah mi kering kegemarannya itu.
Bapanya memberitahu akhbar tempatan bahawa Hamza sempat dikejarkan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia di dalam ambulans pada 16 Ogos lalu.
Pihak pendakwa raya Mesir mengarahkan siasatan penuh termasuk menahan pemilik kedai yang menjual produk berkenaan, menghantar sampel mi untuk ujian makmal serta melakukan bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
Setakat ini, laporan perubatan mengesahkan tiada kesan dadah atau bahan terlarang ditemui dalam tubuh mangsa.
Insiden tersebut sekali lagi mencetuskan perdebatan mengenai keselamatan mi segera yang menjadi makanan ringan popular dalam kalangan remaja Mesir kerana harganya murah dan mudah disediakan.
Pakar pemakanan tempatan sejak sekian lama mengingatkan tentang risiko kesihatan akibat pengambilan berlebihan, termasuk masalah pencernaan, reaksi alahan serta komplikasi hati dan buah pinggang.
Kejadian ini turut mengimbas kembali kes pada Disember 2023 di Kirkuk, Iraq, apabila seorang kanak-kanak perempuan dilaporkan meninggal dunia selepas makan mi segera, walaupun punca tepat tidak pernah disahkan.
Bapa Hamza dalam rayuannya meminta pihak berkuasa menilai semula keselamatan produk makanan segera.
“Apa yang berlaku terhadap anak saya adalah tragedi. Ia seharusnya menjadi amaran untuk semua keluarga melindungi anak-anak mereka,” katanya.