Remaja menyamar pegawai perubatan pernah terima rawatan psikiatri

Remaja menyamar pegawai perubatan pernah terima rawatan psikiatri

am@hmetro.com.my

Sepang: Polis mengesahkan remaja perempuan berusia 14 tahun yang menyamar sebagai pegawai perubatan di Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Serdang baru-baru ini, pernah menerima rawatan psikiatri pada Mac lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata remaja itu bagaimanapun tidak membuat rawatan susulan sehingga mendorong emosinya terganggu.

Katanya, perkara itu diperoleh daripada keluarga remaja terbabit ketika hadir memberi keterangan baru-baru ini.

“Polis akan mendapatkan laporan penuh (rekod rawatan psikiatri) daripada pihak hospital dan difahamkan remaja itu juga sudah tidak bersekolah.

“Remaja itu juga akan dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi sesi kaunseling sebelum kertas siasatan diserahkan kepada Pejabat Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan remaja terbabit direman dua hari selepas ditahan kerana menyamar sebagai pegawai perubatan di HSIS.

Siasatan awal mendapati, suspek menceroboh dewan bedah hospital dan mengaku sebagai pegawai perubatan serta mahu membantu menjalankan pembedahan.

Hussein berkata, siasatan mendapati, remaja itu didapati keluar masuk ke kawasan HSIS dalam tempoh masa seminggu.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan memutuskan sama ada remaja berkenaan akan diletakkan di bawah agensi itu atau terus berada di bawah jagaan ibu bapanya,” katanya.

Ditanya sama ada siasatan polis turut menjurus kepada kecuaian pihak hospital atau pelanggaran prosedur operasi standard (SOP), Hussein berkata, beliau tidak dapat memberikan sebarang komen mengenai perkara itu.

Bagaimanapun beliau berkata, polis masih berbincang dengan pihak hospital bagi mengetatkan prosedur keluar masuk ke hospital terutama di kawasan sensitif.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top