sukan@hmetro.com.my
Glasgow: Debutan Nor Aqilah Farhana Draman menghadiahkan pingat perak bersejarah untuk Malaysia dalam acara angkat berat wanita melebihi 87 kilogram (kg) pada Sukan Komanwel di SEC Armadillo, hari ini.
Atlet berusia 20 tahun itu melakukan angkatan 113kg dalam disiplin snatch sebelum menambah 140kg dalam clean and jerk untuk mengumpul keseluruhan angkatan 253kg, sekali gus meraih pingat perak.
Kejayaan itu menjadikan Aqilah atlet wanita pertama negara meraih pingat perak dalam sejarah acara angkat berat di Sukan Komanwel.
Sebelum ini, Malaysia hanya pernah memenangi dua pingat gangsa menerusi Raihan Yusoff dalam kategori 53kg pada edisi New Delhi 2010 dan Irene Jane Henry dalam kategori 48kg di Glasgow.
Pingat emas dimenangi atlet England, Emily Campbell yang mencatat angkatan keseluruhan 278kg menerusi 115kg dalam snatch dan 163kg dalam clean and jerk, sekali gus memecahkan rekod Sukan Komanwel bagi disiplin clean and jerk serta jumlah angkatan keseluruhan.
Gangsa menjadi milik atlet Kanada, Etta Mae Love yang mengumpul angkatan keseluruhan 250kg hasil catatan 106kg dalam snatch dan 144kg dalam clean and jerk.
Kejayaan Aqilah melengkapkan kempen cemerlang skuad angkat berat negara yang membawa pulang lima pingat emas, satu perak dan satu gangsa di Glasgow.
Pingat emas Malaysia disumbangkan oleh Aniq Kasdan (60kg), Aznil Bidin (65kg), Erry Hidayat (79kg), Hafizuddin Roslin (88kg).
© New Straits Times Press (M) Bhd




