Reman pemandu Nissan Navara disambung sehari

Reman pemandu Nissan Navara disambung sehari

PETALING JAYA: Reman pemandu pacuan empat roda jenis Nissan Navara yang merempuh sebuah motosikal di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dekat sini semalam disambung.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd Isa berkata, pihaknya berjaya mendapat sambung reman ke atas individu berkenaan sehari sahaja.

Kata beliau, kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya pukul 8.30 pagi esok.

“Sebaik ada arahan pertuduhan dibuat maka pertuduhan akan dibuat keatas pemandu itu pada hari sama,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, pihaknya sedang mengesan saksi-saksi bebas lain sekiranya ada.

Terdahulu, polis mengesahkan pemandu pacuan empat roda jenis Nissan Navara disahkan bukan pemilik sebenar kenderaan terbabit.

Tular sebelum ini dakwaan bahawa kenderaan jenis Nissan Navara itu sedang berlumba sebelum melanggar motosikal yang dinaiki pasangan suami isteri.

Bagaimanapun, Zamzuri berkata perkara itu masih dalam siasatan.

Dalam pada itu, mangsa wanita yang juga pembonceng motosikal masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 2.30 petang pada 10 Mei lalu apabila kenderaan itu dipercayai merempuh motosikal jenis Benelli TRK 502 yang ditunggang pasangan terbabit dari arah kanan, menyebabkan mereka tercampak ke bahu jalan.

Mangsa lelaki berusia 53 tahun mengalami retak tulang selangka dan luka di kaki, manakala isterinya, 49, mengalami pendarahan di kepala, patah tulang rusuk kanan serta buku lali.

Pemandu pikap tampil membuat laporan pada pukul 6.55 petang pada hari sama, sebelum ditahan dan direman dua hari untuk siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

Scroll to Top