Usahawan popular, Khairul Aming tampil menjelaskan isu tular membabitkan prosedur operasi standard (SOP) Rembayung, selepas seorang pelanggan mempersoalkan tindakan pihak restoran mengira bayi sebagai satu pax.
BACA: “Saya Yang Suruh..” – Pelanggan ‘Complaint’ Cara Staf Rembayung Ambil Gambar, Khairul Aming Bersuara
Isu itu mula menjadi perhatian selepas pelanggan mendakwa ahli keluarganya tidak dibenarkan masuk kerana tempahan dibuat untuk empat orang dewasa dan seorang bayi berusia tujuh bulan.
Perkongsian tersebut kemudian mengundang pelbagai kritikan terhadap SOP yang ditetapkan Rembayung.
Khairul Aming jelaskan kenapa SOP ketat
Menerusi sebuah video penjelasan, Khairul Aming berkata dia telah membaca lebih 1,000 komen yang ditinggalkan orang ramai berhubung isu tersebut.

Menurutnya, majoriti pengguna media sosial mempersoalkan peraturan berkenaan dan menganggap Rembayung tidak bertolak ansur terhadap pelanggan yang membawa bayi.
Ada kata SOP mengada-ngada mengalahkan restoran Michelin star. Ada yang kata saya tak boleh tolak ansur langsung dengan customer. Tak ada empathy dan sebagainya.
Bagaimanapun, Khairul Aming menegaskan SOP itu bukan diwujudkan secara tiba-tiba, sebaliknya dibuat selepas mengambil kira beberapa insiden yang berlaku sepanjang enam bulan Rembayung beroperasi.
Stroller boleh ganggu laluan hidangan panas
Khairul Aming mengakui pada awal pembukaan Rembayung, bayi tidak dikira sebagai satu pax sekiranya ibu bapa mahu mendukung anak mereka.
Namun, keadaan sebenar menjadi berbeza apabila ramai pelanggan datang bersama stroller, termasuk ketika bayi sedang tidur.
Katanya, susun atur setiap meja di restoran itu mempunyai laluan di bahagian kiri, kanan, hadapan dan belakang bagi membolehkan pekerja membawa hidangan panas serta minuman menggunakan cawan kaca.
Disebabkan itu, bayi perlu dimasukkan dalam jumlah pax supaya pihak restoran boleh mengeluarkan kerusi dewasa dan menyediakan ruang untuk stroller di dalam kawasan meja.
Sukar tentukan had umur dan saiz kanak-kanak

Menjawab cadangan supaya bayi yang didukung tidak dikira sebagai pax, Khairul Aming berkata kelonggaran seperti itu juga pernah diberikan sebelum ini.
Bagaimanapun, ada pelanggan yang membawa kanak-kanak berusia sehingga enam tahun dan mahu mendukung mereka sepanjang berada di restoran.
Menurutnya, kanak-kanak mempunyai pelbagai ragam dan sukar untuk duduk diam dalam tempoh lama. Keadaan itu boleh mendatangkan risiko sekiranya mereka menolak pinggan berisi makanan panas atau menyebabkan cawan kaca pecah.
Khairul Aming turut menjelaskan mengapa pihak restoran tidak boleh sekadar menambah kerusi bayi di bahagian tepi meja tanpa mengira kanak-kanak sebagai satu pax.
Katanya, kanak-kanak makan dengan cara berbeza berbanding orang dewasa dan makanan yang bersepah merupakan perkara normal.
Namun, pihak restoran perlu mengambil kira keselesaan pelanggan di meja bersebelahan yang mungkin datang untuk menyambut ulang tahun, meraikan hari lahir ibu bapa atau berkumpul bersama rakan dan rakan sekerja.
Apabila kanak-kanak dikira sebagai pax, kerusi dewasa boleh dikeluarkan dan digantikan dengan kerusi bayi supaya mereka dapat makan dengan lebih selesa.
Rembayung pernah dipersalahkan kerana bayi duduk di luar

Pihak Rembayung juga pernah membenarkan orang dewasa masuk ke restoran manakala bayi ditempatkan di luar bersama salah seorang ahli keluarga.
Menurut Khairul Aming, keputusan tersebut dibuat oleh ibu bapa dan pihak restoran hanya menghormati pilihan mereka.
Namun, selepas keluarga berkenaan pulang, satu perkongsian dibuat di Threads dengan mendakwa pihak Rembayung sanggup membiarkan bayi berada di luar dalam cuaca panas sehingga ibu bapa terpaksa bergilir-gilir menjaganya.
Disebabkan kejadian itu, Khairul Aming mengambil keputusan untuk mengemas kini SOP Rembayung agar perkara sama tidak berulang.
Mengulas dakwaan bahawa Rembayung tidak mempunyai rasa empati, Khairul Aming berkata setiap SOP perlu dilaksanakan secara adil kepada semua pelanggan.
Sekiranya satu keluarga diberikan pengecualian, pelanggan lain berkemungkinan akan meminta layanan yang sama dan mempersoalkan mengapa peraturan tidak dilaksanakan secara seragam.
Tambahnya, segala perkara yang berlaku di Rembayung mudah dirakam dan dikongsikan secara serta-merta di media sosial.
Justeru, selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri, terma dan syarat Rembayung telah dikemas kini dengan menetapkan semua bayi dan kanak-kanak dikira dalam jumlah pax tanpa mengira umur.
Menurutnya, keadaan operasi Rembayung tidak sama seperti restoran lain kerana premis tersebut menerima kira-kira 1,000 pelanggan setiap hari dan tempahan penuh sehingga dua minggu lebih awal.
Khairul Aming menegaskan dia tidak pernah mencipta peraturan sesuka hati sepanjang menjalankan perniagaan.
Dalam masa sama, dia memohon maaf sekiranya SOP tersebut menyebabkan sesetengah pelanggan berasa kurang selesa untuk berkunjung ke Rembayung.
Pssttt! Keselamatan bayi dan kanak-kanak sememangnya tidak boleh dipandang ringan, lebih-lebih lagi di restoran yang menerima jumlah pelanggan tinggi setiap hari. Walaupun SOP ini mungkin kelihatan tegas, penjelasan daripada pihak restoran juga wajar didengar sebelum sesuatu kesimpulan dibuat.
Kredit: Rembayung
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.
** Selain dari Whatsapp Channel, dapatkan kemaskini Oh! Media setiap hari terus ke emel melalui langganan percuma di bawah.
Arini, Editor-In-Chief di Oh! Media, merupakan penulis sepenuh masa yang pakar dalam menghasilkan artikel berkaitan isu viral dan trending di media sosial, memastikan pembaca sentiasa mendapat maklumat yang terkini dan menarik.




