Remy Ishak Teruja Perkembangan Positif Industri Filem Tempatan – “Ia Menyuntik Semangat Saya!”

Remy Ishak Teruja Perkembangan Positif Industri Filem Tempatan – “Ia Menyuntik Semangat Saya!”

Pelakon terkenal, Datuk Remy Ishak menyatakan rasa gembira dan teruja dengan perkembangan positif yang sedang berlaku dalam industri perfileman tanah air sejak kebelakangan ini.

Remy menyifatkan kemunculan karya-karya yang lebih segar dan kreatif sebagai satu isyarat yang baik, sekali gus menunjukkan hala tuju yang lebih membanggakan untuk filem tempatan.

“Kebelakangan ini, saya lihat semakin ramai pembikin filem berani tampil dengan pendekatan yang lebih segar. Ini petanda positif untuk perkembangan industri kita.

“Contohnya seperti filem Blood Brothers, dan kini pula Keluang Man. Saya pun tertanya-tanya, selepas ini filem apa pula yang bakal mencetuskan fenomena. Memang seronok dan rasa teruja sangat,” katanya.

Remy berkongsi pandangannya itu ketika hadir ke tayangan perdana filem Keluang Man yang berlangsung di GSC Cinemas, IOI City Mall, Putrajaya, pada Khamis.

Lebih daripada sekadar teruja, pelakon filem Sangkar itu turut mengakui bahawa peningkatan dalam industri memberi kesan positif terhadap semangatnya dalam dunia lakonan.

“Perkembangan ini seolah-olah menyuntik semula semangat dalam diri saya. Kalau dahulu watak dalam filem agak terbatas, tapi sekarang pelbagai cerita menarik telah dihasilkan. Ia benar-benar membuatkan saya kembali bersemangat untuk beraksi di layar perak,” tambahnya.

Scroll to Top