Rentas negeri zon hijau mulai Ahad ini

Kuala Lumpur – Selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ditamatkan di beberapa buah negeri, kerajaan telah membenarkan perjalanan merentas negeri mulai Ahad ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pergerakan rentas daerah dan negeri membabitkan negeri-negeri hijau itu, dibenarkan tanpa perlu mendapat kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Pergerakan rentas daerah dan negeri dari negeri hijau ke daerah hijau di negeri merah, juga dibenarkan tetapi perlu mendapat kebenaran pihak PDRM.

“Perjalanan domestik itu akan menggunakan aplikasi My Sejahtera, bagi menentukan seseorang itu datang dari zon hijau.

“Kelonggaran itu untuk mengalakkan pelancongan domestik dan Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya Malaysia (MOTAC) akan mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) secara terperinci dalam masa terdekat, ” katanya pada sidang media perkembangan PKPB dan PKP Pemulihan (PKPP) semalam.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, sidang khas hari ini juga bersetuju agar saringan kesihatan diwajibkan bagi semua pekerja asing di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Sabah, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, melalui kaedah RTK Antigen.

 

ZA137 Malay News

National Desk