Lifestyle: Sesi senaman untuk orang dewasa menurut laman berita kesihatan MedlinePlus ialah selama 30 minit sehari. Antara senaman aerobik yang boleh dipilih ialah berjalan pantas, berjoging, berenang, berbasikal, bermain badminton atau mendaki bukit.
Bersenamlah sebaiknya dengan intensiti yang sederhana. Antara cara mudah untuk mengetahui intensiti sederhana ialah anda masih boleh bercakap semasa bersenam. Tetapi, jika anda boleh menyanyi dengan baik, bermakna intensiti senaman masih belum mencapai tahap sederhana.
Meskipun disarankan bersenam 30 minit sehari, sebenarnya anda tidak perlu memaksa badan mengerah tenaga untuk menghabiskan tempoh minit dalam satu sesi kerana ia boleh dipecahkan kepada dua atau tiga sesi mengikut kelapangan dan keselesaan.
Caranya mudah iaitu anda boleh melakukan senaman selama 15 minit pada setiap pagi sebelum pergi kerja. Kemudian, sambung sesi senaman pada waktu malam untuk baki 15 minit lagi.
Carilah aktiviti yang boleh menggerakkan bahagian badan yang berbeza; kaki, pinggul, dada, perut, bahu dan lengan. Ulang pergerakan bagi setiap bahagian otot sebanyak lapan hingga 12 kali untuk satu sesi.
Sebagai contoh, dengan menaiki tangga di rumah dapat meningkatkan intensiti senaman. Jika tiada tangga, bolehlah membuat lompatan skip atau lompat bintang (melompat sambil menepuk tangan di atas kepala) berdasarkan kemampuan.
Pada waktu sama, jangan lupa masukkan aktiviti menguatkan otot sebanyak dua kali seminggu. Antara aktiviti yang boleh dilakukan ialah mengangkat bebanan, menggunakan getah senaman dan bangkit tubi.
Bagi memberi lebih semangat untuk bersenam, anda boleh memuat turun klip video pelbagai sesi senaman dalam rumah daripada Internet untuk diikuti. Jadi, anda akan berasa seolah-olah berteman dan ia dapat mengelakkan kebosanan.
Ramai pakar kesihatan melihat senaman sebagai ubat paling mujarab untuk merawat, mengawal dan menguruskan penyakit. Apabila ia dianggap sebagai ubat, maknanya senaman itu perlu dilakukan sekerap mungkin, sebaiknya setiap hari, bukannya sekali seminggu. Justeru, bersenamlah secara konsisten untuk menjaga kesihatan.
Sumber: HM
Akmal Hakim
Lifestyle Desk